






Oleh: Sholina Osman
Foto: YTSP Perlis
3 MEI 2026
Seiring dengan keperluan dunia moden, penguasaan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta penerokaan inovasi tanpa batas perlu terus diberi penekanan penting.
Pendekatan pembelajaran seperti kelas hibrid dan βTeacher-based Schoolβ perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkaya ilmu, merangsang kreativiti serta membina pemikiran inovatif yang relevan dengan cabaran semasa.
Golongan pelajar juga digesa agar memanfaatkan platform βStudent Voiceβ sebagai saluran untuk menyuarakan pandangan secara matang dan berhemah, di samping menggalakkan penglibatan aktif dalam pembangunan sekolah.
KEPIMPINAN YANG BERANI
Pelajar disaran membentuk kepimpinan yang berani, berfikiran kritis serta berintegriti tinggi demi masa depan yang lebih gemilang
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abi berslogankan ‘Perlis Hebat! Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan’ baru-baru ini.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengetua Sekolah, Ehsan Sabry Yahaya.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembangunan Murid) Negeri Perlis, Haji Che Rasaidi Che Yob, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus, dan Ketua Penyelaras Program Titian Kasih, Mejar Muhamad Azuan Mohd Nasir.
518 ORANG PELAJAR
Program anjuran YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis tersebut melibatkan seramai 518 orang pelajar tingkatan satu hingga tiga, terdiri daripada 291 pelajar lelaki dan 227 pelajar perempuan.
Tuanku Raja Muda Perlis berharap agar para pelajar sekolah berkenaan menjadikan kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abi, khususnya dalam bidang ragbi, sebagai sumber inspirasi untuk terus melakar kejayaan.
Baginda menzahirkan bahawa semangat juang, disiplin tinggi serta ketahanan mental yang dipamerkan oleh pasukan βWarrior Abi Perlisβ wajar dicontohi dalam membentuk jati diri yang kental.
BUKAN SEKADAR AKTIVITI
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah sukan bukan sekadar aktiviti fizikal, bahkan merupakan medan terbaik untuk membina kekuatan dalaman serta keberanian menghadapi cabaran kehidupan.
Pada kesempatan yang sama, Baginda turut menzahirkan harapan agar Program Titian Kasih Mega ini menjadi pemangkin kepada peningkatan pencapaian akademik, pembentukan sahsiah unggul, serta pengukuhan motivasi dalam kalangan pelajar.
Dalam ucapan aluannya terdahulu daripada itu, Pengetua Sekolah memaklumkan bahawa keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 SMK Abi mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan apabila Gred Purata Sekolah (GPS) bertambah baik daripada 5.46 pada tahun 2024 kepada 5.26 pada tahun 2025.
YANG LULUS SEMUA
Peratus kelayakan sijil turut meningkat kepada 92.36 peratus berbanding 90.85 peratus pada tahun sebelumnya, manakala peratus pelajar yang lulus semua mata pelajaran melonjak daripada 53.52 peratus kepada 60.42 peratus.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen tinggi seluruh warga sekolah dalam memperkukuh kualiti pendidikan di negeri Perlis.
Selain kecemerlangan akademik, SMK Abi terus menyerlah dalam bidang kokurikulum apabila pasukan ragbi ‘Abi Warrior’ berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa.
PELAJAR DALAM PROGRAM
Penglibatan pelajar dalam Program National Rugby Development Program (NRDP) Women Tackle Rugby serta Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan turut membuktikan keupayaan mereka bersaing di pentas lebih tinggi.
Kecemerlangan warga sekolah turut dizahirkan melalui kejayaan Johan Hafazan peringkat negeri, Anugerah Duta 2025 kategori Airobotik, penyertaan JOTA-JOTI Pengakap Kebangsaan serta kenaikan pangkat Pegawai Waran KASPA peringkat kebangsaan.
Selain itu, pelajar SMK Abi juga aktif menyertai program pembangunan sahsiah seperti Swipe Right On Self Worth CyberSafety Edition serta pertandingan Pertolongan Cemas dan Perawatan di peringkat kebangsaan.
Sempena majlis tersebut, Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan menyempurnakan perasmian ‘ACS Music Studio’ sekolah tersebut, iaitu sebuah fasiliti khas bagi pembelajaran muzik dan latihan persembahan pelajar, khususnya dalam bidang vokal, sekali gus memperkukuh pembangunan bakat seni di SMK Abi. – JM
