Kerajaan pergiat sokongan PMKS hadapi tekanan krisis global

SHAH ALAM, 5 Mei – Kerajaan mempergiat pelbagai langkah sokongan bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan akibat krisis bekalan global ketika ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohammad Alamin berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) telah memutuskan beberapa pendekatan penting termasuk penstrukturan semula pembayaran pinjaman bagi memastikan aliran tunai usahawan kekal stabil.

Beliau berkata, usaha berkenaan turut melibatkan semua agensi berkaitan yang diminta mengambil tindakan proaktif dalam menyediakan intervensi bersesuaian kepada usahawan dan koperasi.

“Kita akan terus melaksanakan langkah bagi meringankan beban usahawan PMKS.

“Semua agensi telah diminta melihat keperluan di peringkat akar umbi dan menyediakan bantuan yang bersesuaian, termasuk kepada koperasi yang terlibat dalam aktiviti perniagaan,” katanya.

Oman
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kursus Kerjaya dan Keusahawanan Pelajar Pembiayiaan Pendidikan Yayasan Angkasa sesi 2026, di sini pada Isnin.

Menurutnya, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) juga akan menggerakkan pasukan bagi mengenal pasti tahap impak terhadap koperasi, dengan laporan dijangka diperoleh dalam masa terdekat.

Sementara itu beliau juga memaklumkan pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan bagi meringankan penduduk terjejas dalam kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan Sabah khususnya dalam kalangan usahawan.

Beliau berkata antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk menyediakan kemudahan moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan kepada usahawan yang terjejas.

“Selain moratorium bagi pinjaman sedia ada, mereka yang terjejas juga boleh memohon pinjaman baharu untuk memulakan kembali perniagaan,” katanya.

Pada awal April lalu, kebakaran besar berlaku di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan melibatkan kira-kira 1,000 rumah dengan hampir 10,000 isi rumah terkesan.

Sumber: RTM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *