PEMBANGUNAN KOMUNITI TAMAN HARMONI TERUS DIPERKASA, KEMUDAHAN SUKAN BAKAL DINAIK TARAF

SIMANGGANG, 5 Mei 2026 – Agenda pembangunan komuniti terus menjadi keutamaan apabila pelbagai inisiatif penambahbaikan prasarana dan perumahan dirancang, sejajar dengan usaha memperkukuh kesejahteraan penduduk setempat.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis, pembangunan prasarana seperti di Taman Harmoni Iban Fasa 1 Simanggang, menunjukkan perkembangan positif dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk pembinaan Dewan Komuniti dan gelanggang futsal yang kini menjadi pusat aktiviti belia.

Beliau yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Simanggang berkata kerajaan sentiasa komited memastikan kemudahan asas dan fasiliti rekreasi terus dipertingkatkan bagi menggalakkan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan komuniti.

Datuk Francis berkata demikian ketika merasmikan Majlis Merarau Mantar Gawai sempena ulangtahun ke-14 JKKK Taman Harmoni Iban Fasa 1 di Simanggang pada Ahad lalu.

Beliau turut mengumumkan cadangan menaik taraf gelanggang futsal sedia ada dengan pemasangan bumbung melalui peruntukan MRP 2027, bagi meningkatkan keselesaan pengguna khususnya golongan belia.

Selain itu, usaha memperkasa sektor perumahan turut diberi perhatian apabila projek baik pulih rumah terbengkalai oleh Housing Development Corporation (HDC) telah dimulakan, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai penduduk memiliki kediaman sendiri.

Sumber:- RTM Sarawak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *