
6 Mei 2026
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak
ASEAN ke-48 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan di Cebu, Republik Filipina dari 7 hingga 8 Mei 2026.
YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar
Negeri, YB Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Dato’
Indera Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Ekonomi, serta pegawai-pegawai daripada Pejabat
Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, dan
Kementerian Ekonomi.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan ini menjadi platform penting bagi
Malaysia untuk berkongsi serta bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu berkaitan pembinaan
Komuniti ASEAN dan hala tuju masa depan ASEAN.
Perbincangan juga akan memberi tumpuan kepada
impak krisis di Timur Tengah terhadap rantau Asia Tenggara serta respons ASEAN dalam memastikan
keselamatan tenaga dan keterjaminan bekalan makanan serantau, di samping menjaga keselamatan
warga ASEAN di kawasan yang terjejas.
YAB Perdana Menteri juga dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak Khas Kawasan Pertumbuhan
ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) yang akan diadakan di
sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-48. Sidang Kemuncak ini akan membincangkan isu berkaitan
kerjasama sub-serantau.
Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan ini
mencerminkan komitmen serta tekad negara dalam memperkukuh Kepusatan, perpaduan, dan daya
tahan ASEAN dalam persekitaran global yang semakin kompleks.
Sepanjang berada di Cebu, YAB Perdana Menteri juga dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan
rakan sejawatnya dari negara-negara ASEAN.
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 akan didahului dengan beberapa mesyuarat di peringkat Menteri iaitu
Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN; Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN
Ke-31, Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN Ke-38 dan Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri dan
Ekonomi ASEAN.
Tema bagi Kepengerusian ASEAN oleh Filipina bagi tahun 2026 ialah “Navigating Our Future, Together”.
PUTRAJAYA
6 Mei 2026
