Kerajaan Negeri Johor Digesa Tangguh Cadangan Wujudkan ADUNLantikan, Laksana Libat Urus Menyeluruh dan Telus

6 Mei 2026

KEADILAN Johor mengambil pendirian untuk tidak bersetuju dengan cadangan
pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor (Bahagian Kedua)
(Pindaan) 2026 berhubung pelantikan tidak melebihi lima (5) orang Ahli Dewan
Negeri tambahan yang dikemukakan tanpa proses libat urus yang mencukupi dan
menyeluruh.

Dari perspektif politik dan tatakelola, cadangan ini menimbulkan persoalan asas
terhadap prinsip perwakilan demokratik.

Sebarang perubahan kepada komposisi
Dewan Negeri perlu dilaksanakan dengan penuh kebertanggungjawaban serta
mengambil kira implikasi jangka panjang terhadap keseimbangan kuasa dan
integriti institusi legislatif.

KEADILAN Johor berpandangan bahawa pengenalan wakil yang tidak melalui
proses pilihan raya, tetapi diberikan hak mengundi setara dengan ADUN yang
dipilih oleh rakyat, berpotensi menimbulkan persepsi ketidakseimbangan dalam
mandat demokrasi.

Perkara ini memerlukan penelitian yang lebih mendalam agar
tidak menjejaskan keabsahan institusi Dewan Negeri.

Selain itu, ketiadaan garis panduan yang jelas berhubung kelayakan, peranan dan
kriteria pelantikan membuka ruang kepada tafsiran yang pelbagai.

Tanpa
kerangka merit yang telus sama ada berasaskan kepakaran, representasi komuniti
atau keperluan dasar, cadangan ini berisiko menimbulkan persepsi bahawa
pelantikan dibuat tanpa asas objektif yang kukuh.

Sehubungan itu, KEADILAN Johor menggesa Kerajaan Negeri Johor untuk
menangguhkan cadangan pindaan ini dan melaksanakan proses libat urus yang
inklusif, melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk wakil rakyat, pakar
perlembagaan, masyarakat sivil serta Bangsa Johor secara keseluruhan.

Sekiranya tujuan pelantikan adalah untuk memperkukuh fungsi Dewan Negeri,
maka mekanisme yang lebih telus dan bebas perlu diwujudkan.

Ini termasuk
memastikan wakil yang dilantik benar-benar membawa nilai tambah melalui
kepakaran tertentu atau mewakili segmen masyarakat yang tidak terwakili dalam
proses politik semasa.

Kerajaan Negeri wajar memastikan setiap langkah pembaharuan institusi
dilaksanakan dengan penuh kejelasan, ketelusan dan kebertanggungjawaban
agar keyakinan Bangsa Johor terhadap sistem demokrasi terus terpelihara.

Sebagai parti yang konsisten mendukung agenda reformasi institusi, KEADILAN
Johor akan terus berpegang kepada prinsip memperkukuh demokrasi,
menjunjung integriti institusi serta memastikan suara sebenar Bangsa Johor kekal
sebagai asas utama dalam pembentukan dasar dan perundangan negeri.

Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa
Pengerusi
Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *