


6 Mei 2026
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh keupayaan dalam aspek penyiasatan jenayah kewangan apabila sembilan pegawai Suruhanjaya ini telah ditauliahkan sebagai Penyiasat Kewangan Bertauliah selepas berjaya menamatkan kursus ‘Certified Financial Investigator Programme’ (CFIP).
Kesemua sembilan pegawai berkenaan yang terdiri daripada pegawai daripada Bahagian Siasatan dan Bahagian Operasi Khas SPRM antara 135 pegawai daripada pelbagai agensi penguatkuasaan dalam negara ini yang telah ditauliahkan dalam Majlis Konvokesyen CFIP 2025 yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bertempat di Menara Sri Wilayah, Putrajaya, pada 4 Mei 2026.
CFIP merupakan satu program pentauliahan yang diselaraskan oleh Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) yang memerlukan peserta untuk mengikuti kursus intensif selama enam bulan secara hibrid iaitu secara bersemuka dan dalam talian (online).
Sepanjang tempoh itu, peserta diberi pendedahan terhadap aspek pengukuhan kepakaran melibatkan siasatan kewangan, pengesanan aliran wang haram dan pengesanan serta pelucuthakan aset. Ia bagi meningkatkan kompetensi pegawai ke arah pendekatan siasatan yang lebih strategik, berasaskan risikan dan analitik kewangan.
CFIP ini merupakan sebahagian usaha kerajaan dalam melahirkan pegawai penyiasat yang berkemahiran tinggi, berintegriti dan bersedia menghadapi cabaran jenayah kewangan yang semakin kompleks.
SPRM ingin menegaskan bahawa pensijilan profesional seperti CFIP merupakan elemen kritikal dalam menghadapi jenayah rasuah dan pengubahan wang haram yang semakin sofistikated serta merentas sempadan. Ia juga menyumbang kepada peningkatan kredibiliti pegawai penguatkuasaan negara di peringkat antarabangsa khususnya dalam aspek kerjasama dan pemulihan aset.
Sehubungan itu, SPRM menggalakkan lebih ramai pegawai menyertai program profesional seumpama ini sebagai langkah memperkukuh ekosistem penguatkuasaan yang lebih berdaya tahan, bersepadu dan berimpak tinggi.
SPRM komited untuk terus mempertingkatkan keupayaan penyiasatan termasuk dalam aspek pengesanan, pembekuan dan pelucuthakan aset selaras dengan usaha memastikan hasil jenayah dapat dipulangkan kepada negara serta mengekang ketirisan akibat rasuah dan jenayah kewangan.
