






Oleh: Sholina Osman
Foto: MAIPs
6 MEI 2026
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa jalinan kerjasama yang erat, sikap saling menyokong, serta melengkapi antara jabatan merupakan kekuatan utama yang membolehkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus melaksanakan amanah kepada ummah dengan berkesan dan cemerlang.
Dalam masa yang sama, Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi yang sentiasa berdiri teguh bersama MAIPs, sama ada dalam menghadapi cabaran mahupun meraikan kejayaan.
Tuanku Raja Muda juga berharap agar setiap bentuk pengiktirafan yang diberikan mampu menjadi pemangkin inspirasi kepada seluruh warga kerja untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat, di samping memartabatkan institusi ke tahap yang lebih gemilang.
MENGEKALKAN MOMENTUM KECEMERLANGAN
โTeruskanlah usaha dan komitmen dalam mengekalkan momentum kecemerlangan, dengan menghasilkan kerja yang lebih berkualiti, produktif dan progresifโ.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang Dipertua ketika berkenan berangkat menyempurnakan ‘Majlis Apresiasi Perkhidmatan Terpilih dan Keterampilan Jabatan dan Agensi Bersama MAIPs Tahun 2025’ yang berlangsung di Lee Garden Resort & Cafรฉ, Padang Besar.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd NooR.
BUDAYA SALING MENGHARGAI
Tambah Tuanku Raja Muda, budaya saling menghargai, hormat-menghormati, serta semangat kekitaan terus diperkukuhkan dalam setiap organisasi.
Menurut Baginda, sesebuah institusi tidak hanya dinilai melalui pencapaian semata-mata, sebaliknya turut diukur menerusi kesatuan hati serta keutuhan warganya dalam mendepani cabaran secara bersama.
Majlis Apresiasi ini merupakan program tahunan anjuran MAIPs yang bertujuan menghargai kecemerlangan serta komitmen warga kerja di bawah seliaannya, termasuk agensi-agensi rakan strategik.
MEMUPUK BUDAYA KERJA
Ia turut berperanan memupuk budaya kerja cemerlang yang berteraskan nilai-nilai Al-Quran dan As-Sunnah, di samping memperkukuh sinergi antara MAIPs dan jabatan-jabatan berkaitan.
Sempena majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Terpilih kepada penerima lelaki yang terdiri daripada Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis, MAIPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Jabatan Mufti Negeri Perlis, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis, serta Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perlis.
Manakala penyampaian anugerah kepada para penerima wanita disempurnakan oleh Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah.
Majlis ini mencerminkan komitmen berterusan MAIPs dalam mengiktiraf kecemerlangan, memperkukuh kerjasama strategik serta memperkasa perkhidmatan berteraskan nilai Islam demi kesejahteraan ummah. – JM
