


PUTRAJAYA, 7 MEI 2026 – Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Pertanian dan
Keterjaminan Makanan (KPKM) terus memperkukuh komitmen membantu golongan
pesawah apabila akan melaksanakan bayaran pendahuluan Insentif Pembajakan
Kepada Pesawah (IPKP) sebanyak RM200 sehektar kepada pesawah di
Semenanjung Malaysia.
Langkah ini bertujuan mengurangkan beban modal permulaan yang sebelum ini perlu
ditanggung sendiri oleh pesawah.
Justeru itu, bayaran pendahuluan ini dijadual
mula disalurkan pada 19 Mei 2026 secara berperingkat mengikut jadual dan
pengesahan agensi berkaitan.
Pelaksanaan bantuan ini melibatkan pesawah yang berdaftar di bawah Skim Baja Padi
Kerajaan Persekutuan (SBPKP) bagi musim semasa (keutamaan bagi musim 1/2026)
serta melibatkan pesawah di Semenanjung Malaysia sahaja.
Bagi Sabah dan Sarawak, kadar insentif kekal mengikut kadar sedia ada
memandangkan pesawah di kedua-dua negeri tersebut masih menikmati subsidi
diesel.
Melalui pelaksanaan ini, pesawah akan menerima:
- Bayaran pendahuluan RM200 sehektar secara one-off sebelum atau semasa
kerja membajak dimulakan; dan - Baki RM100 sehektar selepas kerja pembajakan selesai dan disahkan oleh
agensi berkaitan.
Bagi memastikan proses pembayaran lebih cepat dan mudah, penyaluran bantuan
akan dibuat terus ke akaun bank pesawah yang berdaftar, selain kemudahan
pembayaran tunai melalui pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bagi kes-
kes tertentu.
KPKM yakin langkah ini akan dapat membantu meningkatkan aliran tunai pesawah,
mempercepat persiapan musim penanaman serta memberi keyakinan kepada
komuniti pesawah bahawa Kerajaan MADANI sentiasa mendengar keluhan dan
memahami cabaran sebenar yang dihadapi mereka di peringkat lapangan.
Kerajaan MADANI akan terus komited memastikan agenda keterjaminan makanan
negara diperkukuh melalui sokongan berterusan kepada sektor penanaman padi dan
kebajikan pesawah negara.
Dikeluarkan oleh:
KEMENTERIAN PERTANIAN DAN KETERJAMINAN MAKANAN
