
LIMBANG, 10 Mei – Sarawak menyasarkan liputan penuh bekalan air di seluruh negeri menjelang tahun 2030, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030)
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water, Malseni Jamal berkata, pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan bagi memastikan setiap rakyat Sarawak tanpa mengira lokasi dapat menikmati bekalan air bersih, selamat dan berkualiti.
“Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi turut melaksanakan pembangunan Sistem Grid Bekalan Air Sarawak, sebagai pendekatan strategik memperkukuh pengurusan bekalan air negeri.
“Sistem grid ini menghubungkan beberapa loji rawatan air utama melalui rangkaian paip penghantaran berskala besar bagi membolehkan pengagihan bekalan air dilakukan dengan lebih cekap dan sistematik,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan itu membolehkan bekalan air disalurkan dari kawasan yang mempunyai kapasiti mencukupi ke kawasan yang memerlukan, sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan dan kestabilan sistem bekalan air di seluruh Sarawak.
“Melalui sistem ini, kita dapat memastikan bekalan air lebih stabil dan berupaya memenuhi permintaan pengguna termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pengurus Kanan Operasi Wilayah Utara Sarawak Water, Zaid Iskandar Jaraiee, pada Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Sarawak, di Loji Rawatan Air Berawan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan Sarawak turut melaksanakan projek penggantian paip lama di seluruh negeri membabitkan kos kira-kira RM1.1 bilion.
“Projek ini amat penting bagi menggantikan paip usang selain meningkatkan kecekapan sistem pengagihan bekalan air.
“Ia juga membantu mengurangkan kadar kehilangan air serta menstabilkan tekanan bekalan kepada pengguna di seluruh negeri,” katanya.
Tambah beliau, sejak penggabungan Sarawak Water pada Ogos tahun lalu, pelbagai usaha penambahbaikan sedang giat dilaksanakan.
Ini termasuk pembinaan loji rawatan air baharu, menaik taraf loji sedia ada, pembinaan tangki simpanan dan peluasan rangkaian paip agihan.
Sumber : RTM Sarawak
