MAJLIS PELUNCURAN JELAJAH WIRA MADANI 2026 SEMPENA SAMBUTAN HARI JURURAWAT PERINGKAT HOSPITAL SULTAN HAJI AHMAD SHAH(HOSHAS)

YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad telah menyempurnakan Sambutan Hari Jururawat
Sedunia Peringkat Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) sempena program
Jelajah Wira MADANI Tahun 2026.

Program ini bukan sahaja menandakan perjalanan dua dekad HoSHAS sebagai
institusi kesihatan utama di negeri Pahang, malah menjadi platform penghargaan
terhadap komitmen, pengorbanan dan dedikasi warga kesihatan, khususnya para
jururawat yang menjadi tulang belakang sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan
negara.

Program sambutan ini turut diserikan dengan pelbagai pengisian termasuk
penyampaian penghargaan kepada warga kerja serta pengiktirafan kepada petugas
kesihatan.

Sebanyak lapan (8) kategori anugerah telah disampaikan kepada lapan (8)
orang penerima sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan komitmen mereka
dalam perkhidmatan kesihatan di HoSHAS.

Program ini telah dihadiri kira-kira 400 peserta yang terdiri daripada warga kerja
HoSHAS, pesara, bekas petugas serta rakan strategik daripada pelbagai agensi.

Turut hadir jemputan dari ibu pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan
Kesihatan Negeri Pahang dan agensi–agensi berkaitan.

Sejak mula beroperasi secara berperingkat pada tahun 2005, Hospital Sultan Haji
Ahmad Shah (HoSHAS) telah berkembang sebagai sebuah hospital pakar major
dengan kapasiti 650 katil serta menjadi pusat rujukan utama di negeri Pahang,
khususnya bagi Kluster Pahang Tengah.

Dibina dengan kos RM480 juta, HoSHAS kini dilengkapi kemudahan rawatan
komprehensif merangkumi 22 wad serta unit rawatan kritikal seperti Unit Rawatan
Rapi (ICU), Unit Rawatan Koronari (CCU), Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) dan
Special Care Nursery (SCN).

Keupayaan ini membolehkan hospital ini mengendalikan
pelbagai kes daripada rawatan asas hingga kes-kes kompleks dan kritikal.

Sebagai Lead Hospital bagi Kluster Pahang Tengah, HoSHAS memainkan peranan
penting dalam menyelaras perkhidmatan kesihatan bersama hospital rangkaian iaitu
Hospital Jerantut, Hospital Jengka, Hospital Bentong dan Hospital Bera, sekaligus
memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih efisien dan menyeluruh
kepada masyarakat.

Kementerian Kesihatan Malaysia amat menghargai sumbangan, ketabahan dan
dedikasi para wira kesihatan, khususnya warga kerja HoSHAS.

KKM akan terus
komited memastikan kebajikan dan kesejahteraan petugas kesihatan sentiasa diberi
perhatian, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai
kemampanan, kesejahteraan, hormat dan ihsan.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *