Raja Muda Perlis tiba di Pulau Langkawi hadir SKAW Siri 39 Tahun 2026

Oleh: Sholina Osman
13 MEI 2026

Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selamat berangkat tiba di Pulau Langkawi, bagi menghadiri Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri 39 Tahun 2026 yang berlangsung mulai 13 hingga 15 Mei 2026.

Turut berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba Baginda di Jeti Kuah menaiki feri dari Kuala Perlis disambut oleh Asisten Panglima Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Mohammad Razief Che Ahmad, Pegawai Daerah Langkawi Mohamad Subhi Abdullah, dan Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin.

PLATFORM STRATEGIK BERPRESTIJ

Sidang Komander Askar Wataniah merupakan platform strategik berprestij yang menghimpunkan barisan kepimpinan tertinggi Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia bagi memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara menerusi penambahbaikan aspek latihan, pengurusan sumber manusia, logistik, pentadbiran serta keupayaan operasi pasukan.

Keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah yang berpangkalan di Kem Bukit Keteri ke persidangan yang lazimnya diadakan dua kali setahun ini merupakan sokongan dan komitmen berterusan Institusi Diraja Perlis terhadap usaha memperkasa pertahanan negara serta pembangunan Pasukan Simpanan Tentera Darat sebagai aset strategik negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *