


Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
13 MEI 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN (US-ABC), Duta (Bersara) Brian McFeeters serta delegasi sempena Misi Perniagaan Malaysia 2026 hari ini.
Beliau berkata pertemuan ini membuka ruang membincangkan potensi memperkukuh pelaburan dan kerjasama strategik merentasi pelbagai sektor antara Amerika Syarikat dan ASEAN khususnya Malaysia.
“Saya tegaskan bahawa Malaysia terus mempertingkat daya saing negara melalui kerangka ekonomi yang jelas seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Rangka Kerja Insentif Baharu (NIF) yang lebih bersasar dan berasaskan hasil,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Anwar berkata usaha ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kemampanan, daya tahan ekonomi dan penaiktarafan industri negara, di samping memastikan pelaburan berkualiti terus memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan negara. – JM
