
IPOH, 15 Mei β Kira-kira 50 kekosongan jawatan pengetua dan guru besar di seluruh negara mula diselesaikan hari ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pelantikan tersebut sedang dilaksanakan bagi memastikan pengurusan dan pentadbiran sekolah tidak terganggu.
Jelas beliau, pengisian jawatan tersebut penting dalam memperkukuh pengurusan sekolah, termasuk aspek keselamatan, disiplin dan kebajikan warga sekolah.
βSekolah tidak boleh bergerak, tidak boleh dibina ekosistemnya tanpa kekuatan pengurusan, oleh sebab itu kita lihat perkara ini secara serius dan mengambil langkah untuk mengisi kekosongan ini dengan segera supaya isu-isu termasuk keselamatan dan sebagainya dapat di atasi dengan segera,β katanya.
Ditemui pada Majlis Anugerah Guru di Ipoh, beliau turut memaklumkan kira-kira 80 peratus pertukaran guru yang diluluskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah melibatkan pasangan jarak jauh.
Tambah beliau, KPM turut memendekkan tempoh kelayakan permohonan pertukaran kepada dua tahun bagi membantu kebajikan guru yang berjauhan dengan keluarga.
βDan yang lain-lain itu adalah berdasarkan isu kesihatan dan juga keselamatan yang turut menjadi pertimbangan kita. jadi situasi ini kita sangat faham dan kita memang mengambil kira semua permohonan ini dan tujuannya adalah untuk menjaga kebajikan guru-guru kita,β jelas beliau.
Beliau berkata, kementerian akan terus menambah baik dasar sedia ada dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru sentiasa terpelihara.
Sumber: RTM
