PMX lancar Skim PADURI MADANI bernilai RM230 juta lahirkan 29,000 usahawan wanita B40

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
16 MEI 202

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Skim PADURI MADANI di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang memperuntuk dana berjumlah RM230 juta bagi melahirkan 29,000 usahawan wanita baharu dalam kalangan B40.

Beliau menegaskan bahawa usaha membasmi kemiskinan dan memperkasa rakyat mesti diteruskan secara menyeluruh, inklusif dan berterusan.

Jelas Perdana Menteri dalam suasana ekonomi dunia yang terus berdepan ketidaktentuan, tekanan kos sara hidup serta cabaran rantaian bekalan global, Kerajaan MADANI mengambil pendekatan yang lebih berani dan ihsan agar peluang menjana pendapatan dapat diperluas khususnya kepada golongan yang paling memerlukan.

LEBIH RAMAI WANITA

“Skim PADURI MADANI membuka ruang kepada lebih ramai wanita untuk bangkit membina kehidupan yang lebih bermaruah melalui keusahawanan, termasuk mereka yang pernah disenarai hitam atau diisytiharkan muflis,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Terdahulu beliau melancarkan Skim PADURI MADANI di Ipoh, Perak hari ini.

Beliau berkata tanpa keperluan penjamin atau cagaran, skim ini memberi peluang kedua kepada rakyat untuk memulakan langkah baharu demi masa depan keluarga mereka.

GOLONGAN YANG TERCICIR

“Pendekatan ini mencerminkan iltizam Kerajaan MADANI untuk memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan negara,” kata Anwar Skim ini juga bersifat inklusif dengan menyasarkan wanita Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli, komuniti Siam serta wanita B40 di bandar dan luar bandar agar manfaat pembangunan dapat dirasai secara lebih adil dan menyeluruh.

Keupayaan wanita dalam bidang keusahawanan bukan sahaja penting dalam memperkukuh ekonomi keluarga, malah menjadi antara pemacu utama kepada ketahanan ekonomi negara yang lebih mampan, berdaya saing dan berperikemanusiaan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *