JDPPs diharap terus berperanan sumbang bakti kepada rakyat, kemajuan negeri Perlis – Raja Muda

Oleh: Sholina Osman
21 MEI 2026

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan harapan agar Pertubuhan Jemaah Dato’-Dato’ Perlis (JDPPs) terus maju dan cemerlang dalam mencapai segala objektif yang digariskan di bawah perlembagaan pertubuhan, seterusnya terus memainkan peranan penting dalam menyumbang bakti kepada rakyat serta kemajuan negeri Perlis.

Baginda turut bertitah agar JDDPs terus memperkukuhkan peranan dan legasinya menerusi usaha pendokumentasian sejarah organisasi, pemerkasaan ekonomi serta pelaksanaan pelbagai program yang memberi impak besar kepada masyarakat dan pembangunan negeri Perlis secara menyeluruh.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah menyarankan penerbitan sebuah Buku Edisi Khas JDDPs 2001–2026 yang menghimpunkan sejarah penubuhan, perjalanan organisasi, aktiviti, serta sumbangan tokoh-tokoh JDPPs sepanjang penubuhannya diwujudkan.

SEBANYAK MUNGKIN KHAZANAH

Menurut Baginda, buku tersebut wajar memuatkan sebanyak mungkin khazanah sejarah, pengalaman serta jasa bakti JDPPs khususnya dalam bidang pendidikan dan kebajikan yang berpaksikan cogan kata “Bersetia, Bersatu dan Berbakti”.

Demikian titah Tuanku Raja Muda ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Santapan Tengah Hari Sempena Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Jemaah Dato’-Dato’ Perlis (JDPPs) Ke-25 Tahun 2026 di Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Presiden JDPPs, Mejar Jeneral Datuk Husin Md Tahak (Bersara).

Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Jemaah Dato’-Dato’ Perlis (JDDPs) Tahun 2026 turut membincangkan pelbagai perkara penting melibatkan pembentangan laporan aktiviti tahunan, pengurusan dana kebajikan, serta perancangan program dan acara utama pertubuhan bagi tahun semasa.

KOMITMEN BERTERUSAN JDDPs

Perbincangan tersebut mencerminkan komitmen berterusan JDDPs dalam memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan secara tersusun, berkesan dan memberi manfaat kepada ahli serta umat negeri Perlis secara keseluruhannya.

Selain itu, mesyuarat tersebut turut menjadi platform penting dalam memperkukuhkan semangat permuafakatan, kesepaduan dan kerjasama dalam kalangan ahli JDDPs agar pertubuhan ini terus relevan sebagai sebuah badan yang sentiasa mendukung agenda kebajikan, perpaduan dan pembangunan masyarakat.

JDDPs juga komited untuk terus memainkan peranan aktif dalam menyokong usaha-usaha pembangunan negeri serta memperkasakan aktiviti kemasyarakatan yang memberi impak positif kepada rakyat Perlis. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *