






22 Mei 2026
Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan
Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya dengan kerjasama Polis Diraja
Malaysia (PDRM) Cawangan Khas Bukit Aman telah berjaya
membongkar kegiatan penyelewengan minyak diesel menerusi satu
operasi khas yang dijalankan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Operasi yang dilaksanakan pada 20 Mei 2026 kira-kira pada jam 2.00
petang itu melibatkan lima (5) pegawai Pasukan Serbuan KPDN
Putrajaya bersama empat (4) pegawai PDRM Bukit Aman.
Serbuan
dilaksanakan hasil aduan awam serta maklumat risikan yang telah
dijalankan sebelum tindakan serbuan diambil.
Modus operandi sindiket yang dikesan melibatkan aktiviti pembelian
minyak diesel bersubsidi menggunakan fleet card milik pihak lain di
stesen minyak.
Minyak diesel tersebut kemudiannya diisi ke dalam
tangki Intermediate Bulk Container (IBC), dibawa ke sebuah premis stor
penyimpanan, dan seterusnya akan dijual ke sektor industri.
Pemeriksaan lanjut di premis berkenaan mendapati tiga (3) unit tangki
simpanan yang disambungkan dengan saluran paip, di mana salah satu
daripadanya mengandungi cecair disyaki minyak diesel dengan anggaran
sebanyak 35,000 liter.
Sebuah lori bersama tangki IBC dengan anggaran
sebanyak 2,000 liter minyak diesel sedang melakukan kerja-kerja
pemindahan cecair ke dalam tangki simpanan tersebut.
Pemeriksaan
lanjut turut menjumpai sebuah lagi lori yang membawa tangki IBC
mengandungi cecair disyaki minyak diesel yang dianggarkan sebanyak
6,000 liter.
Siasatan awal mendapati pihak premis gagal mengemukakan sebarang
dokumen atau lesen berkaitan penyimpanan dan urus niaga barang
kawalan berjadual.
Pasukan serbuan telah menyita semua barang kes
yang melibatkan dua (2) buah lori, minyak diesel anggaran 43,000 liter,
tangki simpanan, hos paip, tangki IBC, fleet card pelbagai jenama, serta
telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.
Jumlah keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM247,198.00.
Pasukan
serbuan turut menahan tiga (3) individu lelaki berumur 30-an bagi
membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta
122] dan jika sabit kesalahan:
Individu: Denda tidak melebihi RM1,000,000.00 atau penjara tidak
melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Kesalahan kedua boleh
didenda sehingga RM3,000,000.00 atau penjara tidak melebihi lima
tahun, atau kedua-duanya sekali.
Syarikat / Badan Korporat: Denda tidak melebihi RM2,000,000.00 untuk
kesalahan pertama, dan RM5,000,000.00 untuk kesalahan kedua.
KPDN ingin menegaskan bahawa pihak kementerian akan terus
memperkukuh tindakan penguatkuasaan secara bersepadu bersama-
sama agensi penguat kuasa lain bagi membanteras kegiatan
penyelewengan barang kawalan dan subsidi yang menjejaskan
kepentingan rakyat serta menyebabkan ketirisan subsidi negara.
KPDN menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti
penyelewengan barang kawalan dan subsidi untuk menyalurkan aduan
mereka melalui saluran rasmi berikut:
i. WhatsApp: 019-848 8000
ii. Portal e-Aduan KPDN: eaduan.kpdn.gov.my
iii. Pusat Panggilan (Call Centre): 1-800-886-800
iv. Aplikasi Telefon Pintar: Ez ADU KPDN
DATUK AZMAN BIN ADAM
Ketua Pengarah Penguat Kuasa
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan
Kos Sara Hidup
Putrajaya
22 Mei 2026
