



Oleh: Sholina Osman
Foto: SWCorp
24 MEI 2026
SWCorp terus memperkasa pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) sebagai pendekatan penguatkuasaan berteraskan pendidikan sivik dan pemulihan sosial dalam menangani isu pembuangan sampah kecil di kawasan awam.
Kenyataan media SWCorp memaklumkan bahawa pelaksanaan PKM Siri Ke-9 mencerminkan ketegasan berterusan kerajaan dalam membentuk masyarakat yang lebih berdisiplin, bertanggungjawab serta menghormati kebersihan persekitaran awam demi mewujudkan budaya hidup yang lebih bersih dan lestari.
PKM Siri Ke-9 dilaksanakan secara serentak melibatkan enam negeri iaitu Kedah, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan dan Perlis dengan penglibatan keseluruhan seramai 76 pesalah yang diperintahkan mahkamah di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
SERAMAI 4 PESALAH
Di Perlis, pelaksanaan PKM dijalankan di pekarangan Kompleks Bazar Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Jejawi melibatkan seramai 4 pesalah berusia antara 24 hingga 57 tahun yang melaksanakan kerja-kerja pembersihan bermula seawal jam 8.00 pagi.
Tugasan pembersihan yang dilaksanakan melibatkan kawasan longkang, tandas awam, siar kaki dan jalan awam dalam persekitaran penggunaan sebenar sebagai bentuk pemulihan yang memberi pengalaman langsung kepada pesalah terhadap realiti pengurusan kebersihan awam.
Pendekatan pemulihan secara langsung ini memberi kesedaran kepada pesalah mengenai kesan sikap tidak bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran, selain membentuk rasa tanggungjawab sosial serta penghargaan terhadap kepentingan menjaga ruang awam secara bersama.
KAWASAN TUMPUAN MASYARAKAT
Dalam memastikan kawasan tumpuan masyarakat kekal bersih dan kondusif, SWCorp turut mempergiat Operasi Penguatkuasaan Sampah Kecil secara lebih strategik, tersusun dan berfokus di lokasi hotspot yang dikenal pasti berisiko tinggi terhadap pencemaran sampah kecil.
Pendekatan intervensi lapangan ini memberi penekanan terhadap pemantauan berkala, tindakan penguatkuasaan serta penyelenggaraan kebersihan secara konsisten bagi memastikan ruang awam sentiasa berada dalam keadaan bersih, teratur dan selesa untuk masyarakat.
Sehingga kini, sebanyak 101 lokasi hotspot telah dikenal pasti di tujuh negeri yang menerima pakai Akta 672 melibatkan Perlis (5 lokasi), Kedah (9 lokasi), Wilayah Persekutuan (17 lokasi), Negeri Sembilan (21 lokasi), Melaka (12 lokasi), Pahang (24 lokasi) dan Johor (13 lokasi).
PEMERIKSAAN BERKALA TERUS
Bagi meningkatkan tahap pematuhan terhadap kebersihan awam, pemeriksaan berkala terus dilaksanakan melibatkan kawasan awam serta premis perniagaan di sekitar hotspotyang dikenal pasti.
Pada masa sama, sesi libat urus bersama peniaga dan komuniti setempat turut diperkasakan bagi menyemai budaya bertanggungjawab serta memperkukuh kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat.
Aspirasi “Zero Littering” yang digerakkan SWCorp bukan sekadar inisiatif kebersihan, sebaliknya agenda perubahan tingkah laku masyarakat ke arah pembudayaan disiplin sivik yang lebih tinggi.
MENERUSI GABUNGAN PENGUATKUASAAN
Pendekatan ini dilaksanakan secara menyeluruh menerusi gabungan penguatkuasaan, pendidikan awam, intervensi lapangan dan pemerkasaan tanggungjawab sosial secara berterusan.
Tahap kebersihan kawasan awam turut menjadi cerminan imej dan tahap ketamadunan sesebuah negara.
Sehubungan itu, SWCorp komited memastikan kawasan tumpuan awam sentiasa berada pada standard kebersihan yang tinggi selaras aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih, teratur dan mesra pengunjung bertaraf antarabangsa.
SEBAGAI TANGGUNGJAWAB BERSAMA
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Tuan Khalid Mohamed berkata, kebersihan awam perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama dalam membentuk persekitaran bandar yang lebih berdisiplin, selesa dan berkualiti.
“Kebersihan awam mencerminkan disiplin serta tahap ketamadunan masyarakat. Pelaksanaan PKM membuktikan bahawa penguatkuasaan bukan sekadar hukuman, tetapi instrumen pendidikan sosial yang mampu membentuk kesedaran dan rasa tanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran.
SWCorp akan terus memperkasa penguatkuasaan dan pendidikan awam secara konsisten bagi memastikan budaya membuang sampah merata-rata tidak lagi menjadi norma dalam masyarakat,” katanya.
7,919 NOTIS PEMBERITAHUAN
Sehingga kini, sebanyak 7,919 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) telah dikeluarkan di tujuh negeri yang menerima pakai Akta 672 melibatkan 5,708 warganegara tempatan dan 2,211 warganegara asing.
Statistik ini membuktikan ketegasan berterusan kerajaan dalam meningkatkan tahap pematuhan terhadap kebersihan awam serta memastikan kesalahan pembuangan sampah kecil tidak lagi dipandang ringan oleh mana-mana pihak.
SWCorp akan terus memperkukuh pelaksanaan penguatkuasaan, pendidikan awam dan pemantauan lapangan secara berterusan dalam usaha membudayakan amalan kebersihan yang lebih bertanggungjawab dan mampan demi merealisasikan Malaysia yang bersih, indah dan sejahtera. – JM
