
PUTRAJAYA, 25 Mei– Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bersetuju supaya rantaian logistik sektor agrikomoditi diperkukuhkan menerusi kerjasama antara Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara, MTEN, bersetuju supaya Kementerian Perladangan dan Komoditi, KPK, terus meneliti langkah mitigasi jangka masa sederhana dan panjang. Ini termasuk memperkukuh kawalan harga serta menangani isu antipencatutan dalam input pertanian.”
“Selain itu, KPK turut disaran meneroka potensi eksport produk kelapa sawit ke pasaran baharu. Langkah proaktif ini bertujuan melindungi keseluruhan rantaian industri yang merangkumi pengeluaran, kebajikan pekebun kecil, kestabilan bekalan, serta daya saing eksport negara,” kata Akmal Nasrullah, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sesi Taklimat Krisis Bekalan Global yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Disyorkan
Kerajaan pandang serius insiden pekerja pelantar minyak maut
Perkhidmatan THM secara dalam talian beroperasi serta merta
Ambil protein berkualiti cegah sarkopenia – pakar UPM
Harga barangan makanan domestik dilaporkan masih stabil
Akmal turut memaklumkan MTEN mengambil maklum tekanan yang sedang dihadapi industri agrikomoditi susulan peningkatan kos operasi dan gangguan rantaian bekalan global.
Jelasnya, antara isu utama yang dibangkitkan pemain industri menerusi sesi libat urus bersama KPK ialah lonjakan kos penghantaran ke Asia Barat antara 50 hingga 80 peratus selain peningkatan kos pengilangan sehinggan 30 peratus, antaranya melibatkan kos pengeluaran oleokimia sawit.
Sehubungan itu, bagi melindungi pendapatan pekebun kecil dan mengurangkan tekanan terhadap industri, beberapa langkah mitigasi secara berperingkat akan dilaksana.
Ini termasuk pemantauan kos operasi loji dan kos berkaitan bagi mengoptimumkan pengeluaran dan penyaluran bantuan tunai bersasar menerusi inisiatif BUDI Agri-Komoditi untuk meringankan beban kos input.
Selain itu, penyelarasan input pertanian akan dilaksana melalui pembelian pukal baja dan racun melalui agensi pusat bagi mendapatkan harga lebih rendah untuk petani.
Sumber: Bernama
