Raja Muda, Raja Puan Muda solat Sunat Hari Raya Aidiladha di Dataran Istiadat, Istana Arau

Oleh: Sholina Osman
Foto: Istana Arau
27 MEI 2026

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidiladha di Dataran Istiadat Istana Arau pagi ini.

Berangkat sama anakanda-anakanda puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Lebih 1, 200 jemaah yang terdiri daripada anak kariah Kota Raja Arau, rakyat negeri Perlis serta umat Islam dari pelbagai lapisan masyarakat hadir memeriahkan sambutan Aidiladha yang diraikan dalam suasana penuh kesyukuran, perpaduan dan semangat ukhuwah Islamiah.

PENGORBANAN MEMAJUKAN UMAT

Solat Sunat Aidiladha tersebut telah diimamkan oleh Imam Besar Negeri Perlis, Amnan Muthqa Azanol, manakala khutbah Aidiladha bertajuk “Pengorbanan Memajukan Umat Islam” telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

Titah Tuanku Raja Muda, ‘Sambutan Aidiladha ini terus menyemarakkan syiar Islam serta memperkukuhkan penghayatan nilai keikhlasan, ketaatan dan semangat pengorbanan dalam kehidupan seharian’.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra, ‘Nilai-nilai murni ini menjadi pemangkin dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu, harmoni dan berdaya maju, di samping terus mengutamakan kepentingan agama, bangsa dan negara’.

Baginda sekeluarga menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha 1447 Hijrah kepada seluruh umat Islam, khususnya rakyat negeri Perlis yang dikasihi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *