Malaysia kekal berpendirian tegas kecam serangan ketenteraan Israel-Amerika Syarikat – PMX

Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
26 MEI 2026

Malaysia kekal berpendirian tegas mengecam sebarang tindakan serangan dan pencerobohan termasuk yang melibatkan serangan dron serta tindakan ketenteraan Israel-Amerika Syarikat yang hanya akan terus mengorbankan nyawa rakyat yang tidak berdosa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika berkesempatan mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Republik Islam Iran, Dr Masoud Pezeshkian, bagi menyampaikan ucapan Eid Mubarak serta salam persaudaraan dan doa daripada seluruh rakyat Malaysia buat rakyat Iran.

Beliau menzahirkan harapan agar Iran segera kembali aman dan segala ketegangan serta pertumpahan darah dapat dihentikan melalui jalan damai, hikmah dan diplomasi yang bertanggungjawab.

KERJASAMA PIHAK IRAN

“Saya turut merakamkan penghargaan atas dukungan serta kerjasama pihak Iran dalam membantu urusan pelepasan kapal Malaysia di Selat Hormuz tempoh hari,” kata Anwar dalam hantaran di FB hari ini.

Beliau menjelaskan sikap saling menghormati dan semangat persahabatan seperti inilah yang harus terus diperkukuh dalam hubungan antara negara.

Perdana Menteri berkata Presiden Iran turut menyatakan penghargaan terhadap pendirian konsisten Malaysia yang menjunjung keamanan, keadilan dan prinsip kemanusiaan di pentas antarabangsa.

“Beliau juga mengundang saya untuk mengadakan lawatan ke Tehran bagi memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama strategik antara kedua-dua negara,” kata Anwar.

“Insya-Allah, saya akan mengatur jadual untuk ke Iran pada masa yang sesuai. Iran sentiasa dekat di hati saya, apatah lagi ramai sahabat dan kenalan di sana yang terus mempertahankan nilai ilmu, persaudaraan dan perjuangan kemanusiaan sejagat,” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *