



Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
27 MEI 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai ribuan jemaah menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha di Masjid Putra di Putrajaya hari ini.
Beliau tiba bersama dengan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 7.56 pagi, disambut oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee sebelum memasuki dewan utama masjid.
Anwar kemudiannya bertakbir raya bersama-sama lebih 10,000 jemaah sebelum menunaikan solat sunat Aidiladha yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra Dr Muhammad Zakuwa Rodzali.
GEMA TAKBIR AIDILADHA
Dalam hantaran di FB, beliau berkata di kesempatan ini, gema takbir Aidiladha dialunkan bersama-sama, di samping mendengar khutbah bertajuk “Pengorbanan Menuntut Keikhlasan” yang mengingatkan kita bahawa pengorbanan sebenar bukan sekadar pada harta dan tenaga, tetapi juga pengorbanan sifat ego, keangkuhan, kebencian serta segala yang menjauhkan diri daripada rahmat dan reda Allah SWT.
Jelas beliau khutbah turut menyeru para jemaah agar terus memperkukuh ukhuwah, menyemai sifat ihsan dan belas kasih sesama insan, serta menjadikan semangat pengorbanan sebagai asas dalam membina masyarakat yang bersatu, berakhlak dan saling peduli antara satu sama lain.
“Usai solat, kami sempat bersalaman, bertegur sapa dan bergambar bersama para jemaah sebagai momen meraikan hari yang penuh barakah, kemuliaan dan kesyukuran ini,” kata Anwar.
Perdana Menteri berharap semoga Aidiladha kali ini memperteguh keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT, mempererat persaudaraan sesama insan serta menyuburkan semangat pengorbanan dan keikhlasan dalam setiap amal dan kehidupan. Insya-Allah. – JM
