






Oleh: Sholina Osman
30 MEI 2026
Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah (AW) yang berlangsung di Dewan Syed Faizuddin Putra, Kem Bukit Keteri, dekat Kangar.
Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Timbalan Komander Rejimen 504 AW ke-23, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji dan Timbalan Komander Rejimen 504 AW ke-24 yang baru, Leftenan Kolonel Mohd Azwan Ariff Mohd Azawi.
Turut hadir ialah Panglima Briged Keenam Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Fouzi Sulaiman bersama pegawai-pegawai serta anggota Rejimen berkenaan.
LAMBANG KESINAMBUNGAN KEPIMPINAN
Sempena majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyaksikan simbolik penyerahan Nota Serah Terima Tugas antara Lasahi dan Mohd Azwan Ariff sebagai lambang kesinambungan kepimpinan dan amanah dalam memperkukuhkan kecemerlangan Rejimen 504 Askar Wataniah.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya selama tiga tahun sembilan bulan 25 hari sebagai Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Lasahi telah menzahirkan komitmen tinggi dalam memperkasakan kesiapsiagaan anggota, memperkukuhkan disiplin, serta memantapkan semangat patriotisme dan kesukarelawanan dalam kalangan warga pasukan itu.
Dalam ucapannya, beliau merafakkan setinggi-tinggi menjunjung kasih kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Komander atas kepercayaan, perkenan dan sokongan yang dizahirkan sepanjang beliau memegang amanah tersebut.
TURUT MERAKAMKAN PENGHARGAAN
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pegawai dan anggota Rejimen itu atas kerjasama, komitmen dan semangat setiakawan yang ditunjukkan sepanjang tempoh beliau berkhidmat.
Beliau amat berbangga dengan semangat disiplin, dedikasi serta kesungguhan yang ditampilkan oleh seluruh warga Rejimen 504 AW.
Semoga nilai-nilai ini terus dipertahankan demi memastikan kecemerlangan dan kehormatan rejimen keramat ini sentiasa terpelihara.
PROSES PERTUKARAN KEPIMPINAN
Majlis tersebut bukan sahaja melambangkan proses pertukaran kepimpinan secara rasmi, malah mencerminkan kesinambungan tradisi kepimpinan berintegriti dalam memperkukuhkan kesiapsiagaan pertahanan negara serta memperkasakan peranan Askar Wataniah sebagai benteng sokongan utama Angkatan Tentera Malaysia.
Keberangkatan Tuanku Raja Muda Perlis selaku Tuanku Komander turut mencerminkan keprihatinan dan sokongan berterusan institusi diraja terhadap pembangunan kekuatan pertahanan negara, khususnya dalam memperkukuhkan semangat patriotisme, perpaduan dan jati diri anggota keselamatan tanah air.
Terdahulu daripada itu Baginda berdua meluangkan masa menyaksikan pelaksanaan ibadah korban peringkat rejimen itu yang diadakan di kawasan Sirkit Merentas Halangan Syed Sirajuddin Areeb Putra kem itu.
Bagi Aidiladha kali ini, sebanyak empat ekor lembu dikorbankan. – JM
