PROGRAM KORBAN KASIH BERSAMA WARGA BOMBA 2026 MANFAATKAN 2,500 PENERIMA

CYBERJAYA, 30 Mei – Sebanyak 2,500 penerima termasuk golongan asnaf di sekitar Parlimen Sepang menerima agihan daging korban menerusi Program Korban Kasih Bersama Warga Bomba 2026 yang berlangsung di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya semalam.

Program itu disempurnakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KPKT, YBhg. Datuk Wira Dr. M. Nor Azman bin Taib serta Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), YAS Dato’ Sri Ts. Nor Hisham bin Mohammad.

Sebanyak 45 ekor lembu dikorbankan hasil sumbangan warga kementerian, jabatan serta agensi di bawah KPKT, dengan penglibatan kira-kira 500 petugas yang membantu urusan penyembelihan, melapah dan pengagihan daging korban.

Selain diagihkan kepada peserta program, petugas media, warga JBPM dan warga kementerian, daging korban turut disalurkan kepada golongan yang memerlukan sebagai usaha menyemarakkan semangat keprihatinan dan kebajikan sempena Aidiladha.

Program berkenaan bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim dan kerjasama antara warga KPKT dan JBPM, malah menghayati nilai pengorbanan, keikhlasan serta kebersamaan yang menjadi teras sambutan Aidiladha.

Dalam konteks perkhidmatan JBPM, nilai pengorbanan tersebut selari dengan komitmen anggota bomba yang sentiasa bersedia mempertaruhkan keselamatan diri demi melindungi nyawa dan harta benda masyarakat.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *