






Oleh: Sholina Osman
31 MEI 2026
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran enam buah buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Aras 2, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Anwar Ridhwan yang juga merupakan Sasterawan Negara, Dr. Hazami Jahari (Ketua Pengarah DBP), dan Mohd Salahuddin Datuk Paduka Mohamad (Timbalan Ketua Pengarah Dasar, DBP).
Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim, serta Fauzy Wahab (Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WTCKL).
Antara barisan yang hadir adalah pengurusan tertinggi DBP, para penulis, editor, serta penggiat industri buku dan kesusasteraan tanah air.
PELBAGAI BIDANG ILMU
Enam buah buku yang dilancarkan merangkumi pelbagai bidang ilmu dan pemikiran, iaitu Isu-Isu Pandemik dari Kaca Mata Islam yang diterbitkan bersama oleh DBP dan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Biografi Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Biografi Ketua Pengarah DBP, Legasi Ulama Melayu, Akhlak dalam Islam serta Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan.
Pelancaran karya-karya ilmiah tersebut mencerminkan komitmen berterusan DBP dalam memperkasa budaya ilmu, memperkukuh tradisi penulisan dan penerbitan berkualiti serta memperluas khazanah intelektual negara demi manfaat generasi masa kini dan akan datang.
Dalam majlis berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik pelancaran keenam-enam buah buku tersebut sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkaya dunia penerbitan dan pengembangan ilmu pengetahuan negara. – JM
