MESYUARAT SURUHANJAYA BERSAMA KERJASAMA DUA HALAANTARA MALAYSIA DAN REPUBLIK INDONESIA KE-17

4 JUN 2026

YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri, akan mengetuai delegasi
Malaysia ke Mesyuarat Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) Ke-17 antara Malaysia
dan Republik Indonesia di Jakarta, Indonesia pada 4 Jun 2026.

Beliau akan diiringi oleh para pegawai
kanan kerajaan dari agensi berkaitan.

Mesyuarat JCBC akan dipengerusikan bersama oleh YB Menteri Luar Negeri dan rakan sejawatnya
dari Indonesia, Tuan Yang Terutama Sugiono.

Berlatarbelakangkan gangguan rantaian bekalan global
yang semakin meruncing, JCBC Ke-17 akan memberi tumpuan utama kepada pemerkasaan kerjasama
ekonomi Malaysia dan Indonesia bagi memelihara daya tahan ekonomi kedua-dua negara.

Malaysia
akan memimpin hala tuju perbincangan ke arah langkah konkrit yang membolehkan kedua-dua negara
bekerjasama bagi memitigasi kejutan luaran yang menjejaskan aliran perdagangan, keterjaminan
tenaga, bekalan makanan, serta bahan input penting industri.

Mesyuarat ini juga akan menyusuli
keputusan yang dicapai oleh Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Republik Indonesia pada
Rundingan Tahunan Ke-13 yang diadakan di Jakarta pada 29 Julai 2025.

Mesyuarat Pegawai Kanan
(SOM) telah diadakan sebelum Mesyuarat Peringkat Menteri ini.

Sejajar dengan keutamaan yang diberikan kepada langkah dua hala bagi menangani gangguan
rantaian bekalan global, agenda mesyuarat akan memberi penekanan khusus kepada pemudahcaraan
perdagangan dan pelaburan, pengukuhan rangkaian bekalan rentas sempadan, kerjasama tenaga, dan
keterjaminan makanan.

Antara bidang lain yang dijangka dibincangkan termasuk pembatasan
sempadan maritim dan darat, lintas batas dan perdagangan rentas sempadan, kerjasama dalam
industri halal; pertahanan dan keselamatan; pengurusan alam sekitar dan bencana; serta
perkara-perkara lain yang berkepentingan bersama.

JCBC Ke-17 merupakan susulan kepada Rundingan Tahunan Ke-13 antara Perdana Menteri Malaysia
dan Presiden Republik Indonesia yang telah diadakan di Jakarta pada 29 Julai 2025, dan akan
menetapkan hala tuju bagi Rundingan Tahunan Ke-14 yang akan dianjurkan oleh Malaysia pada tahun
ini.

PUTRAJAYA
3 Jun 2026

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *