






Oleh: Sholina Osman
Foto: YTSP Perlis
7 JUN 2026
Keindahan alam semula jadi, keunikan warisan budaya serta keramahan masyarakat setempat terus meletakkan Perlis sebagai destinasi pelancongan yang mampu menarik perhatian pelawat antarabangsa.
Seramai empat orang pelajar peringkat Sarjana (M.B.A.) warga Sepanyol dari Columbia Business School (CBS), Columbia University, New York, Amerika Syarikat, iaitu Jaime Murillo Murillo, Javier Marazuela Martinez, Clara de Lapuerta Fernández dan Miriam Fernandez Ruiz, bersama Penasihat Yayasan Hasanah, Dr. Azimah Pilus, telah mengadakan lawatan eksplorasi ke pelbagai lokasi menarik di negeri Perlis baru-baru ini.
Program tersebut dijayakan melalui Yayasan Hasanah dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bagi mendalami keunikan budaya, warisan, pendidikan dan produk pelancongan negeri ini.
MENGADAKAN SESI INTERAKSI
Sepanjang lawatan tersebut, delegasi berkenaan berpeluang mengadakan sesi interaksi dan perkongsian ilmu bersama warga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Faizuddin Center of Educational Excellence (FCoEE) yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), sekali gus membuka ruang kepada pertukaran idea dan pengalaman antara pelajar antarabangsa dan institusi pengajian tinggi tempatan.
Mereka turut menyertai pelbagai program komuniti dan kebudayaan yang mencerminkan identiti unik negeri Perlis, termasuk Majlis Malam Citrawarna Kuala Perlis, Program Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis serta lawatan ke Kampung Wai.
Pengalaman mereka di Perlis turut diperkaya dengan peluang menikmati sajian autentik negeri ini apabila berkunjung ke Nyiru Klasik untuk merasai keenakan hidangan ikan bakar Kuala Perlis yang menjadi antara tarikan gastronomi terkenal di negeri ini.
BEBERAPA DESTINASI PELANCONGAN
Pada hari kedua, rombongan ini meneruskan eksplorasi ke beberapa destinasi pelancongan ikonik Perlis termasuk Gua Kelam yang terkenal dengan keunikan formasi batu kapur serta Club Rock Gua Kelam yang baru sahaja mula beroperasi menjadi lokasi rekreasi dan pelancongan semakin popular.
Delegasi turut berkunjung ke bandar Padang Besar bagi melihat sendiri keunikan aktiviti ekonomi sempadan yang menjadi antara nadi pembangunan negeri sebelum menyertai Program Kayuhan Berbasikal MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), menyantuni beberapa buah rumah asnaf terpilih. Ia merupakan sebuah program yang menggabungkan elemen kesihatan, kebajikan dan kemasyarakatan.
Lawatan berkenaan diakhiri dengan kehadiran mereka ke Program Malam Kilauan Cahaya Istana Arau yang menampilkan keindahan seni pencahayaan dan keunikan landskap Istana Arau, memberikan pengalaman yang cukup bermakna serta meninggalkan kenangan mendalam kepada para pelawat antarabangsa tersebut.
KAYA DENGAN KEINDAHAN
Kunjungan ini membuktikan bahawa Perlis bukan sahaja kaya dengan keindahan alam semula jadi dan warisan budaya, malah mempunyai keupayaan besar untuk muncul sebagai destinasi pelancongan berimpak tinggi hingga ke peringkat antarabangsa.
Kehadiran pelawat dari institusi pendidikan terkemuka dunia seperti Columbia University ini turut mencerminkan peningkatan daya tarikan Perlis sebagai destinasi yang menawarkan pengalaman autentik, berteraskan komuniti serta sarat dengan nilai budaya, pendidikan dan kelestarian.
Kemuncak lawatan ini ialah berpeluang mengadap dan bertukar pandangan dengan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Arau. Baginda berdua sendiri pernah bermastautin di kotaraya Madrid, Sepanyol pada tahun 1995 hingga 1998 ketika Tuanku Syed Faizuddin Putra berkhidmat sebagai Pengurus Kawasan Sepanyol, Portugal dan Afrika Utara bagi syarikat Malaysia Airlines di sana pada ketika itu. – JM
