
Oleh: Noraini Nordin
(Sorotan Khas HAWANA )
BUTTERWORTH, 20 Jun 2026 – Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 berlangsung dengan penuh meriah di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang, menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media tempatan dan antarabangsa dalam satu acara yang mengiktiraf peranan penting media dalam pembangunan negara.
Mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, sambutan HAWANA tahun ini dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Pengerusi BERNAMA, Datuk Seri Wong Chun Wai serta barisan kepimpinan tertinggi Kementerian Komunikasi dan BERNAMA.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran wakil Menteri Komunikasi dari beberapa negara ASEAN termasuk Timor-Leste, Kemboja dan Laos, sekali gus memperkukuh hubungan serantau dalam bidang media dan komunikasi.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri menegaskan kepentingan media sebagai institusi yang memainkan peranan besar dalam menyampaikan maklumat yang sahih, membentuk pemikiran masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih demokratik dan progresif.
Majlis kemuncak itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah HAWANA 2026 dan Anugerah Khas HAWANA 2026 kepada tokoh serta pengamal media yang telah memberikan sumbangan besar kepada perkembangan industri media negara. Selain itu, hadiah kepada pemenang Pertandingan Pesta Pantun HAWANA–Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2026 turut disampaikan sebagai penghargaan kepada usaha memartabatkan bahasa dan budaya Melayu.
Satu lagi agenda penting dalam majlis tersebut ialah penyerahan bantuan Tabung Kasih@HAWANA kepada wartawan dan petugas media yang memerlukan. Sejak diperkenalkan pada tahun 2023, tabung berkenaan telah menyalurkan bantuan sebanyak RM2.26 juta kepada 773 wartawan dan petugas media di seluruh negara, termasuk mereka yang masih berkhidmat dan yang telah bersara. Inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan komuniti media negara.
PERTUKARAN MoU
Majlis turut mencatat satu lagi pencapaian penting apabila Perdana Menteri menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara BERNAMA dan agensi berita Timor-Leste, TATOLI Agencia Noticiosa de Timor-Leste. Kerjasama ini dijangka memperkukuh perkongsian berita, pertukaran maklumat serta pembangunan kapasiti media antara kedua-dua negara anggota ASEAN tersebut.
Bersempena sambutan HAWANA 2026, orang ramai turut berpeluang menyertai Karnival RIUH Pi HAWANA yang berlangsung dari 19 hingga 21 Jun di pekarangan PICCA @ Arena Butterworth. Karnival itu menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan muzik, seni dan budaya, jualan makanan tempatan serta program komuniti yang mengeratkan hubungan antara pengamal media dan masyarakat.
HAWANA disambut pada 29 Mei setiap tahun bersempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939. Sambutan ini menjadi simbol penghargaan negara terhadap jasa dan pengorbanan pengamal media sebagai penyampai maklumat yang berintegriti, pencetus wacana awam serta penghubung utama antara kerajaan, rakyat dan negara.
HAWANA 2026 bukan sekadar sebuah sambutan, tetapi manifestasi penghargaan negara kepada warga media yang terus menjadi benteng kebenaran, suara rakyat dan pemangkin pembangunan Malaysia MADANI.
