PRN JOHOR DIHARAP JADI CONTOH BUDAYA POLITIK BERASASKAN KEBAIKAN, BUKAN FITNAH – NURUL IZZAH

Oleh Noraini Nordin
(Sorotan khas PRN Johor)

22 Jun 2026 –

Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini perlu dijadikan medan untuk membawa manfaat kepada rakyat, bukannya platform untuk menyebarkan fitnah atau serangan peribadi terhadap lawan politik.

Menurut beliau, Pakatan Harapan (PH) telah merangka pelbagai program berteraskan masyarakat termasuk pendekatan berasaskan nilai-nilai Madani dan program-program Quranik Madani bagi mendekati rakyat secara lebih berkesan.

“Kita mahu kempen pilihan raya mempunyai maksud yang tersendiri. Kita mahu mendekati rakyat dan membawa manfaat kepada mereka. Kalau pun kita bersaing, biarlah persaingan itu dalam berlumba-lumba melakukan kebaikan, bukan berlumba-lumba melemparkan fitnah,” kata Nurul Izzah dalam temubual khas dengan penulis di Muar, Johor petang semalam.

SARINGAN CALON LEBIH KETAT

Mengulas mengenali pemilihan calon, Nurul Izzah berkata proses pemilihan dan saringan calon-calon KEADILAN kali ini dilaksanakan dengan lebih ketat berbanding sebelum ini bagi memastikan hanya calon terbaik ditampilkan kepada rakyat.

Menurut beliau, selain tapisan integriti dan penilaian menyeluruh, calon-calon juga perlu melalui ujian psikologi yang akan diteruskan secara berkala.

“Perjanjian dan saringan kali ini jauh lebih ketat. Kita turut memperkenalkan ujian psikologi yang akan dijalankan dari semasa ke semasa kerana tekanan yang dihadapi calon hari ini sangat berbeza, khususnya dengan cabaran media sosial,” katanya.

Beliau berkata langkah tersebut penting bagi memastikan setiap calon sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat tanpa terjejas oleh tekanan politik atau serangan media sosial.

KESELAMATAN CALON DIBERI PERHATIAN

Dalam perkembangan sama, Nurul Izzah berkata aspek keselamatan calon turut diberi perhatian serius sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Katanya, jentera parti akan memastikan terdapat pasukan yang sentiasa mendampingi calon di kawasan tertentu bagi membantu melancarkan gerak kerja kempen.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memainkan peranan penting dalam memastikan setiap program kempen berjalan lancar dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Di Johor, setiap ceramah dan program perlu mendapatkan permit yang sewajarnya. Justeru kita bergantung kepada kerjasama serta kesiapsiagaan anggota PDRM untuk memastikan keselamatan dan kelancaran program sepanjang tempoh pilihan raya,” katanya.

Nurul Izzah berharap PRN Johor kali ini dapat menjadi contoh kepada budaya politik yang lebih matang, berintegriti dan memberi manfaat kepada rakyat.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *