
Oleh Noraini Nordin
(Sorotan khas PRN Johor)
22 Jun 2026
Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar menyatakan keyakinan bahawa calon-calon wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang diketengahkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini mempunyai kemampuan untuk menggalas amanah parti dan rakyat walaupun berdepan cabaran di kerusi-kerusi yang dianggap sukar.
Menurut Nurul Izzah, perkara paling penting bukanlah pengalaman semata-mata, sebaliknya kesanggupan, komitmen dan keberanian seseorang calon untuk tampil menyahut tanggungjawab demi masyarakat.
“Apa yang paling penting adalah kesanggupan dan komitmen mereka untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam perjuangan ini. Kita perlu melihat kepada tujuan dan matlamat yang lebih besar iaitu memastikan masyarakat mendapat wakil yang benar-benar sanggup berkhidmat,” katanya dalam temubual khas bersama penulis di Muar, Johor semalam.
SANGGUP MENERIMA PENCALONAN
Beliau berkata, terdapat calon yang sanggup menerima pencalonan di kawasan yang dianggap mencabar, walaupun bukan kerusi yang memberikan kelebihan besar kepada mereka.
“Kalau dilihat, ada kerusi yang bukanlah kerusi terbaik untuk kita. Tetapi mereka dengan penuh rendah diri menerima tanggungjawab dan menyahut cabaran tersebut. Pada saya, itu antara ciri kepimpinan yang sangat diperlukan,” ujar Nurul Izzah lagi.
CALON WANITA DAN AMK BAWA SEMANGAT BAHARU
Nurul Izzah turut melahirkan rasa bangga terhadap calon-calon wanita serta wakil AMK yang diberi peluang bertanding dalam PRN Johor kali ini.
Menurut beliau, kehadiran mereka bukan sahaja membawa semangat baharu kepada parti, malah membuktikan komitmen PH dalam memberi ruang kepada generasi pelapis dan kepimpinan wanita untuk tampil ke hadapan.
“Saya bangga dengan calon-calon AMK dan calon-calon wanita yang bersama kita kali ini. Mereka membawa semangat perjuangan yang tinggi dan kesediaan untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Mengulas mengenai calon-calon PH, beliau berkata, bahawa PH menampilkan barisan calon yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat Johor, merangkumi pelbagai kaum, latar belakang dan pengalaman.
“Pada saya, kita menampilkan calon yang datang daripada pelbagai ras dan kelompok masyarakat di negeri Johor. Inilah kekuatan yang ingin kita tonjolkan kepada rakyat,” katanya.
Nurul Izzah yakin gabungan pengalaman pemimpin sedia ada bersama tenaga baharu daripada golongan muda dan wanita mampu memperkukuh jentera PH dalam menghadapi persaingan sengit PRN Johor yang bakal berlangsung pada 11 Julai depan.
