
25 Jun 2026
Kementerian Luar Negeri (KLN) memaklumkan sedang memantau secara rapi perkembangan kejadian gempa bumi kuat berturut-turut berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud pada skala Richter yang melanda Venezuela awal hari ini.
Gempa bumi tersebut dilaporkan berlaku kira-kira 21 kilometer dari daerah Moron, iaitu sekitar 168 kilometer di barat Caracas, ibu negara Venezuela. Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan termasuk Caracas, Trujillo, Carabobo, Miranda dan La Guaira, yang mengakibatkan kerosakan struktur serius termasuk keruntuhan bangunan.
WARGANEGARA MALAYSIA SEMUA SELAMAT
KLN memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Caracas telah mengesahkan semua warganegara Malaysia yang berdaftar di Venezuela berada dalam keadaan selamat setakat ini.
Pihak berkuasa Venezuela masih menjalankan penilaian bagi menentukan jumlah korban serta tahap sebenar kemusnahan, manakala Kedutaan Malaysia terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau perkembangan semasa.
RAKYAT MALAYSIA DIMINTA BERWASPADA
KLN turut menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau sedang berada di kawasan terjejas supaya sentiasa mengutamakan keselamatan, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan serta segera mendaftarkan keberadaan mereka melalui sistem e-Konsular sekiranya masih belum berbuat demikian.
Bagi mereka yang memerlukan bantuan konsular atau mempunyai maklumat mengenai rakyat Malaysia di kawasan terjejas, KLN menggesa supaya segera menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Caracas.
KLN turut menegaskan bahawa kementerian akan terus memantau perkembangan situasi dan akan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa sekiranya diperlukan. –
Sumber: RTM
Sorotan Berita : Jendela Madani
