LRT3 LALUAN SHAH ALAM: Langkah penting perkukuhkan pengangkutan awam negara yang moden dan cekap – PMX

29 Jun 2026

Perdana Menteri menyifatkan pelancaran LRT3 Laluan Shah Alam yang bermula hari ini menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam negara yang lebih moden, cekap dan bersepadu demi kesejahteraan rakyat.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, langkah itu bukan sekadar menyediakan kemudahan pengangkutan, malah membawa limpahan manfaat yang besar kepada jutaan penduduk di sepanjang jajaran.

“Dengan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan boleh dipercayai, rakyat dapat menjimatkan masa serta kos perjalanan harian, di samping mengurangkan kesesakan lalu lintas dan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.

“Pada masa yang sama, LRT3 dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat melalui pembangunan berorientasikan transit (TOD), yang akan merangsang pelaburan baharu, memperluas peluang perniagaan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan daya saing kawasan-kawasan yang dihubungkan oleh laluan ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran LRT3 itu.

Anwar juga berkata, jaringan pengangkutan yang lebih baik akan membuka akses yang lebih luas kepada peluang pekerjaan, institusi pendidikan, kemudahan kesihatan dan pelbagai perkhidmatan penting.

Dengan itu, katanya, ia sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh dan saksama.

Beliau juga menekankan tentang komitmen kerajaan madani untuk terus melaksanakan pembangunan yang berteraskan keperluan rakyat, memperkukuh daya tahan ekonomi negara serta memastikan kemajuan yang dikecapi memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat, hari ini dan untuk generasi akan datang.

Sempena pelancaran LRT3, Anwar turut mengumumkan tambang perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam serta bas perantara kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) diberikan secara percuma selama sebulan bermula 29 Jun hingga 31 Julai ini.

Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam selain mengurangkan beban kos perjalanan rakyat, khususnya di laluan yang dikenal pasti antara paling sesak di negara ini.

“Bermula 29 Jun hingga 31 Julai tambang perkhidmatan Laluan Shah Alam dan bas perantara sepanjang Laluan Shah Alam akan diberikan secara percuma selama sebulan.

“Laluan ini antara yang paling sesak dalam negara kita dan ia memberi beban yang besar kepada rakyat,” katanyaZ

Terdahulu, Perdana Menteri menaiki tren LRT3 dari Stesen Seri Andalas ke Stesen Johan Setia sebelum menyempurnakan pelancaran rasmi laluan berkenaan.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Seri Mohamad Sabu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari serta barisan kepimpinan Prasarana.

Projek LRT3 Laluan Shah Alam bernilai RM16.63 bilion itu merupakan antara pelaburan strategik kerajaan bagi memperkukuh sistem pengangkutan awam negara.

Laluan tersebut turut disokong 40 bas perantara melibatkan 323 hentian di 13 laluan, selain perkhidmatan Rapid On-Demand menggunakan 44 van di 20 zon.

Sorotan : Berita Jendela Madani

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *