
ACCRA, 30 Jun – Hujan lebat yang melanda Accra mengakibatkan beberapa kawasan di ibu negara Ghana itu, dilanda banjir sehingga menenggelamkan rumah, jalan raya dan kenderaan.
Banjir besar itu menyebabkan penduduk terjejas terpaksa meredah arus deras untuk menyelamatkan diri, manakala sebahagian lagi terpaksa berlindung di atas bumbung rumah apabila paras air terus meningkat.
Di Alajo, terdapat penduduk yang berlindung di kawasan lebih tinggi atau di tingkat atas bangunan, sementara pelbagai barangan rumah seperti peti sejuk dan bahan binaan dihanyutkan arus banjir.
Seorang penduduk, Mohamed Razac, merayu agar kerajaan segera menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas.
“Hujan turun dengan sangat lebat di sini dan keadaannya amat membimbangkan. Kami memerlukan bantuan daripada kerajaan,” katanya.
Beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap apa yang disifatkannya sebagai kurangnya sokongan daripada pemimpin selepas pilihan raya.
Sementara itu, Presiden Ghana, John Dramani Mahama, menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Presiden, menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan laluan yang dinaiki air.
Pihak berkuasa turut mengingatkan penduduk terjejas supaya mematuhi arahan keselamatan ketika hujan lebat berterusan melanda negara itu. – REUTERS
Sumber berita RTM
Sorotan Berita: Jendela Madani
