

.
๐๐จ๐๐๐ ๐ง๐๐ฅ๐๐ก๐๐๐๐ก๐จโ ๐ฎ๐ต ๐๐๐ป โ Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu terus memperkukuhkan penguatkuasaan keselamatan maritim apabila berjaya menahan tiga buah bot penumpang ketika melaksanakan pemeriksaan rutin di perairan Pulau Perhentian dan Pulau Bidong pada 26 dan 27 Jun 2026.
Ketiga-tiga bot tersebut ditahan oleh anggota Maritim Malaysia ketika melaksanakan rondaan rutin menerusi OP IMAN, OP NAGA DAN OP TIRIS. Rondaan pemeriksaan rutin pada 26 Jun 2026, bot PERKASA 48 telah menahan dua buah bot penumpang di sekitar perairan Pulau Perhentian di kedudukan pada 9.09 dan 10.9 batu nautika dari muara Kuala Besut pada jam 10.39 pagi dan 12.04 tengahari. Hasil pemeriksaan mendapati bot-bot berkenaan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bot telah beroperasi tanpa lesen yang sah dan nakhoda tidak memiliki perakuan kekompetenan.
Manakala dalam rondaan pemeriksaaan rutin berasingan pada 27 Jun 2026, KM Bagahak telah menahan sebuah bot penumpang di sekitar perairan Pulau Bidong di kedudukan lebih kurang 1 batu nautika barat laut Pulau Bidong. Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Perikanan 1985 iaitu bersauh di kawasan taman laut Pulau Bidong dan menjalankan aktiviti perikanan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan iaitu lampu hijau 1500w di bawah permukaaan air.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin bin Che Awang memaklumkan, seramai tiga orang nakhoda warga tempatan berumur 23-33 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Kesemua bot yang ditahan telah diiring ke jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah peruntukan berkaitan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Perikanan 1985, dan tindakan penguatkuasaan akan diambil berdasarkan hasil siasatan.
Tangkapan ini membuktikan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memastikan semua pengusaha bot penumpang mematuhi undang-undang serta mengutamakan keselamatan penumpang. Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan aspek keselamatan atau melanggar syarat lesen sehingga boleh mengundang risiko kepada nyawa penumpang.
Maritim Malaysia menyeru semua pengusaha bot penumpang agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan pelayaran, manakala orang ramai dinasihatkan supaya memilih perkhidmatan bot yang sah, memastikan jaket keselamatan dipakai sepanjang perjalanan serta segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 013-7464357 untuk tindakan segera.
.
