
DUA RAKYAT MALAYSIA CEDERA DALAM INSIDEN LETUPAN IED DI NARATHIWAT SELAMAT PULANG KE TANAH AIR
PUTRAJAYA, 30 Jun 2026 – Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa dua rakyat Malaysia yang cedera dalam insiden letupan peranti letupan buatan sendiri (IED) di Narathiwat, Thailand pada 29 Jun 2026 telah dibenarkan keluar dari Hospital Naradhiwas Rajanagarindra.
Kedua-dua mangsa dibantu oleh pihak berkuasa tempatan Narathiwat dan diiringi ke sempadan Sungai Golok–Rantau Panjang sebelum memasuki Malaysia.
Bagi memastikan proses kepulangan berjalan lancar, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla telah menyelaras urusan bersama pihak berkuasa berkaitan di Rantau Panjang, termasuk proses pemeriksaan imigresen di sempadan Malaysia–Thailand.
Selepas selesai urusan imigresen, kedua-dua mangsa dibawa menggunakan ambulans ke sebuah hospital di Kelantan bagi menerima rawatan lanjut.
Kementerian Luar Negeri turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Thailand serta pihak berkuasa tempatan di Narathiwat atas kerjasama dan bantuan yang diberikan dalam memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia yang terlibat.
Kementerian memaklumkan bahawa Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla akan terus memantau perkembangan kes berkenaan dan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya.
Pada masa sama, rakyat Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan ke wilayah selatan Thailand dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri serta mematuhi segala arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Sorotan Berita: Jendela Madani
