

ALOR SETAR, 30 Jun 2026 โ Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah telah melaksanakan operasi penguatkuasaan melalui Ops Sapu, Ops Jaja dan Ops Selera di sekitar daerah Kota Setar dan Kubang Pasu, Kedah pada 29 hingga 30 Jun 2026.
Operasi ini melibatkan seramai 21 pegawai Unit Tindakan Imigresen, Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah, hasil maklumat risikan serta aduan awam berhubung kehadiran dan aktiviti warga asing tanpa izin di premis-premis terlibat.
Operasi yang bermula pada jam 10.00 pagi itu telah memeriksa sebanyak 10 premis di lokasi sasaran. Hasil pemeriksaan mendapati seramai 87 orang telah diperiksa melibatkan warganegara Malaysia, Myanmar, Vietnam, Bangladesh, Thailand dan Indonesia. Daripada jumlah tersebut, seramai 42 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Antara kesalahan yang dikesan termasuk tidak memiliki pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia, tinggal melebihi tempoh sah laku pas, menyalahgunakan pas lawatan atau pas kerja, tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah semasa pemeriksaan, serta melanggar syarat pas yang telah ditetapkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.
Kesemua tangkapan melibatkan warganegara Bangladesh seramai 7 lelaki, Indonesia 15 lelaki dan 1 perempuan, Thailand 1 lelaki dan 2 perempuan, serta Myanmar 13 lelaki dan 3 perempuan. Kesemua individu yang ditahan berumur antara 22 hingga 54 tahun dan telah dibawa ke Depot Imigresen Belantik untuk tujuan dokumentasi, siasatan serta tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sepanjang operasi juga, sebanyak empat (4) Borang Imm.29 (Saman Kepada Saksi) telah dikeluarkan bagi membantu siasatan pihak berkuasa.
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa di seluruh negeri bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan semua individu yang berada di negara ini mematuhi undang-undang dan peraturan imigresen yang ditetapkan.
Jangan lupa layari Media Sosial dan Portal Rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah. Klik Like, Follow, Subscribe & Share untuk mendapatkan pelbagai informasi terkini daripada kami.
๐ Linktree: https://linktr.ee/jimkedah
๐ป Sistem Pertanyaan Online (SPO): http://eapp.imi.my/spo
