Tiga Inisiatif MCMC Rangkul Pengiktirafan “Champion Project” di WSIS Prizes 2026

CYBERJAYA, 1 Julai – Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya di pentas antarabangsa apabila tiga inisiatif yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya merangkul pengiktirafan “Champion Project” dalam World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2026.

Pengiktirafan berprestij itu mencerminkan kepimpinan Malaysia dalam memacu pembangunan digital yang inklusif, dipercayai dan berteraskan rakyat, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk memperkasa bakat digital, memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap ekosistem digital negara.

WSIS Prizes yang dianjurkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di bawah proses WSIS yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan antara anugerah paling berprestij dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi di dunia. Bagi edisi 2026, pertandingan itu menerima 1,595 penyertaan daripada 122 negara serta lebih 2.2 juta undian, sekali gus menggambarkan tahap persaingan yang tinggi di peringkat global.

Tiga inisiatif MCMC yang menerima pengiktirafan Champion Project ialah:

ASEAN 5G Skills Framework and Capacity Development Platform di bawah kategori Peranan Kerajaan dan Semua Pihak Berkepentingan dalam Menggalakkan ICT untuk Pembangunan.

Human-Centered Digital Governance Through MCMC’s Five-Year Plan 2030 (FYP2030) atau kini dikenali sebagai Pelan MCMC 2026–2030 (MCMC P2630) di bawah kategori Persekitaran yang Membolehkan.

Portal Sebenarnya.my di bawah kategori Media sebagai platform semakan fakta rasmi negara.

Menurut MCMC, ketiga-tiga pengiktirafan tersebut melambangkan komitmen Malaysia dalam membangunkan bakat digital masa depan, memperkukuh tadbir urus digital yang mampan serta membina masyarakat yang lebih celik maklumat, berdaya tahan dan bertanggungjawab dalam era digital.

Rangka kerja ASEAN 5G Skills Framework and Capacity Development Platform yang dibangunkan bersama negara anggota ASEAN, pihak industri dan pakar serantau turut meletakkan Malaysia sebagai peneraju pembangunan kemahiran 5G di rantau ini. Rangka kerja berkenaan mengenal pasti 50 peranan pekerjaan kritikal, 211 kompetensi serta 12 jurang kemahiran utama bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital ASEAN.

Sementara itu, Portal Sebenarnya.my terus diiktiraf atas peranannya membanteras penyebaran berita palsu serta menyediakan maklumat yang sahih kepada orang ramai.

Pencapaian ini juga menandakan empat tahun berturut-turut inisiatif digital Malaysia menerima pengiktirafan di WSIS selepas kejayaan JENDELA (2023), Program Advokasi dan Jangkauan Kampung Orang Asli Negeri Sembilan (2024) serta Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Stingray II (2025).

Majlis penyampaian anugerah WSIS Prizes 2026 dijadual berlangsung pada 9 Julai 2026 di Geneva, Switzerland, yang akan menentukan pemenang utama bagi setiap kategori. MCMC turut menegaskan komitmennya untuk terus menyumbang kepada pembangunan dasar dan piawaian digital antarabangsa melalui penglibatan aktif bersama ITU, ASEAN dan pelbagai platform global yang lain.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *