
KUALA LUMPUR, 4 Julai 2026 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh komitmen dalam menjaga kebajikan warga penguat kuasa menerusi peruntukan lebih RM429 juta bagi tempoh 2023 hingga 2026 untuk meningkatkan kemudahan, infrastruktur serta keupayaan operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Penjara Malaysia di Johor. Pelaburan strategik ini memastikan anggota dapat melaksanakan amanah dengan lebih cekap, selamat dan berkesan demi kesejahteraan rakyat.
“Apabila anggota penguat kuasa mempunyai tempat bertugas yang lebih kondusif, kuarters yang lebih selesa dan kemudahan operasi yang lebih moden, rakyat turut menikmati manfaat melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih baik serta persekitaran yang lebih aman dan sejahtera.”
— YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri
Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebanyak RM174.8 juta diperuntukkan bagi projek yang telah siap dan sedang dilaksanakan, manakala RM255 juta lagi disediakan untuk projek dalam perancangan. Pelbagai inisiatif sedang dan akan dilaksanakan, termasuk pembinaan premis baharu, penyediaan kuarters, naik taraf fasiliti operasi serta penambahbaikan infrastruktur bagi memperkukuh kesiapsiagaan agensi penguat kuasa.
KDN percaya bahawa pelaburan terhadap kebajikan anggota bukan sekadar meningkatkan keselesaan tempat bertugas, malah menjadi pemangkin kepada penyampaian perkhidmatan awam yang lebih berkualiti, operasi penguatkuasaan yang lebih berkesan serta keselamatan rakyat yang terus terpelihara sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Sumber: Bernama | Facebook YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri | 4 Julai 2026
