Situasi kemanusiaan di Lubnan masih kritikal, meski gencatan senjata

NEW YORK, 8 Julai – Keadaan kemanusiaan di Lubnan masih kritikal walaupun tahap permusuhan berkurangan selepas gencatan senjata diumumkan pada 19 Jun lalu.

Jurucakap Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric, berkata lebih 500,000 penduduk Lubnan yang berpindah akibat konflik mula kembali ke komuniti masing-masing, namun puluhan ribu lagi masih tidak mampu atau enggan pulang berikutan faktor keselamatan, kerosakan kediaman serta kekurangan perkhidmatan asas

“Walaupun proses pemindahan ke lokasi asal masing-masing masih berlangsung, aktiviti ketenteraan dan insiden keselamatan masih dilaporkan, manakala keadaan kekal rapuh di banyak kawasan,” katanya kepada pemberita.

Menurut Dujarric, lebih 34,000 orang masih ditempatkan di pusat perlindungan sementara.

Ramai keluarga masih keberatan atau tidak mampu kembali kerana kediaman mereka rosak, kewujudan bahan letupan yang belum diletupkan di kampung-kampung serta ketiadaan perkhidmatan asas.

Kanak-kanak merupakan antara golongan yang paling terjejas, berdasarkan anggaran Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) yang menunjukkan seramai 308,000 kanak-kanak masih kehilangan tempat tinggal.

Selain itu, lebih satu juta kanak-kanak memerlukan bantuan kemanusiaan, manakala 62 kanak-kanak tanpa penjaga atau terpisah daripada keluarga telah dikenal pasti.

Dujarric berkata, rakan kemanusiaan turut melaporkan peningkatan kebimbangan berkaitan perlindungan, termasuk buruh kanak-kanak, keciciran sekolah, eksploitasi, keganasan berasaskan gender, keganasan rumah tangga, gangguan, sekatan pergerakan serta halangan terhadap penyampaian bantuan.

Beliau turut memaklumkan pegawai penyelaras khas PBB bagi Lubnan, Jean Arnault, memulakan lawatan ke Israel pada Selasa selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan di Lubnan.

Rayuan segera kemanusiaan PBB-Lubnan yang dikemas kini memerlukan dana sebanyak AS$640 juta bagi membantu 1.4 juta penduduk sehingga Ogos depan.

Setakat ini, rayuan berkenaan hanya menerima pembiayaan sebanyak 42 peratus.- REUTERS

Sorotan : Berita Jendela Madani

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *