Lawatan Rasmi PM Thailand Ke Malaysia Perkukuh Kerjasama Dua Hala

PUTRAJAYA, 8 Julai – Perdana Menteri Thailand, TYT Anutin Charnvirakul akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Malaysia pada 9 hingga 10 Julai 2026 atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Lawatan ini merupakan kunjungan rasmi pertama beliau sejak dilantik semula sebagai Perdana Menteri Thailand pada Mac lalu.

Sepanjang lawatan, kedua-dua pemimpin dijadual mengadakan mesyuarat dua hala bagi menilai kemajuan hubungan Malaysia–Thailand serta memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, kesalinghubungan sempadan, keselamatan, pertanian, pelancongan, pendidikan dan hubungan antara rakyat. Mereka turut dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau serta kerjasama ASEAN.

Kedua-dua Perdana Menteri juga akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang pertanian sebelum menghadiri Majlis Makan Tengah Hari Rasmi. Pada 10 Julai, mereka dijadual merasmikan Jalan Baharu yang menghubungkan Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Malaysia dengan Kompleks CIQ Sadao, Thailand di Kedah.

Lawatan ini mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dan Thailand sebagai negara jiran serta anggota ASEAN. Pada tahun 2025, Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam ASEAN dengan nilai dagangan RM118.57 bilion, manakala bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, dagangan dua hala meningkat kepada RM31.33 bilion.

Sumber: Wisma Putra
Sorotan Berita: Jendela Madani

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *