
CARACAS, 11 Julai – Angka korban akibat dua gempa bumi kuat yang melanda Venezuela pada 24 Jun lalu meningkat kepada 4,118 orang.
Presiden Parlimen Venezuela, Jorge Rodriguez, berkata seramai 16,740 lagi cedera, manakala ribuan lagi masih dilaporkan hilang.
Dua gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud itu berlaku hanya dalam tempoh 39 saat, dengan gegaran kedua merupakan yang paling kuat melanda Venezuela dalam tempoh lebih satu abad.
Bencana tersebut memusnahkan keseluruhan kawasan di negeri pesisir La Guaira, termasuk meruntuhkan blok-blok pangsapuri bertingkat sehingga menjadi timbunan runtuhan.
Operasi mencari mangsa yang terselamat telah ditamatkan, namun ahli keluarga masih meneruskan usaha mencari mayat insan tersayang bagi membolehkan pengebumian dilakukan dengan sempurna.
Sementara itu, gegaran susulan berukuran 3.0 magnitud menggegarkan tengah Caracas pada Jumaat, mencetuskan panik seketika dan memaksa beberapa bangunan dikosongkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan rayuan kecemasan berjumlah hampir AS$300 juta bagi menyokong operasi bantuan dan pemulihan pascagempa.
Presiden sementara Venezuela, Delcy Rodriguez, turut menggesa aset negara yang dibekukan di luar negara dilepaskan bagi membantu usaha pemulihan, termasuk kira-kira 30 tan emas Venezuela yang dibekukan di United Kingdom di bawah sekatan antarabangsa.-AFP
Sorotan – Berita Jendela Madani
