
KUALA PILAH, 15 Julai – Negeri Sembilan memerlukan kepimpinan yang bersih, berintegriti dan berupaya meneruskan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh jentera PH bekerja bersungguh-sungguh demi masa depan generasi akan datang serta membawa perubahan terbaik kepada rakyat negeri itu.
“Kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan penting dalam memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Hubungan baik antara kedua-dua pentadbiran akan memudahkan penyelarasan dasar, pelaksanaan projek pembangunan serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) bagi PRN Negeri Sembilan Ke-16 di Dataran Melang, di sini.
Turut hadir Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu, Pengarah Komunikasi PH Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari.
Senarai 36 calon yang diumumkan turut menampilkan gabungan muka baharu dan pemimpin berpengalaman daripada parti komponen PH, iaitu PKR, DAP dan
Amanah.
Antara muka baharu ialah Mohd Umry Abdul Khois di kerusi DUN Pertang, Yaacob Mahmud (Serting), Mavinan Gowin (Jeram Padang), Zarinna Abu Zarin (Lenggeng), Mohd Hanis Mohd Alimin (Senaling) dan Ahmad Shahir Mohd Shah (Paroi).
Manakala antara pemimpin berpengalaman yang dicalonkan semula adalah Anthony Loke Siew Fook (Chennah), Bakri Sawir (Klawang), Veerapan Superamaniam (Repah), Yew Boon Lye (Chuah), Nicole Tan (Bukit Kepayang), Noorzunita Begum Mohd Ibrahim (Pilah), Arul Kumar (Nilai) dan Teo Kok Seong (Bahau).
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau yakin muka-muka baharu yang diketengahkan pada kali ini mampu memberi suntikan kekuatan kepada Pakatan Harapan.
“Saya yakin dengan muka-muka baharu yang diketengahkan kali ini daripada pelbagai latar belakang serta mempunyai kelebihan dari segi akademik dan kerjaya.
“Mereka akan memberi kekuatan baharu kepada Pakatan Harapan. Kita harapkan kepelbagaian latar belakang mereka, termasuk doktor, akauntan, peguam dan profesional lain, akan terus memperkukuh parti,” katanya.
Sumber : RTM
Sorotan : Berita Jendela Madani
