Oleh: Feeza Harun
18 Julai 2026



N14 DUN AMPANGAN – DATUK MUHAMMAD NAZRI KASSIM
“Alhamdulillah, majlis penamaan calon telah selesai dengan lancar.
Saya telah diamanahkan sebagai Calon No. 1 bagi N14 Ampangan. Semoga amanah ini dapat saya pikul dengan sebaiknya demi seluruh warga Ampangan.
Saya memohon doa daripada semua sahabat dan rakan-rakan agar segala urusan dipermudahkan. Insya-Allah, saya akan terus turun padang, mendengar dan berkhidmat untuk rakyat.”


N13 DUN SIKAMAT – NOR AZMAN MOHAMAD
“Terima kasih yang tidak terhingga atas titipan doa dan ucapan daripada anda semua. Saya memohon maaf kerana tidak berkesempatan untuk membalas setiap satu pesanan secara individu. Sokongan dan doa berterusan daripada anda amatlah saya harapkan.
Dunia politik merupakan sebuah medan ijtihad. Lumrah bagi setiap parti politik untuk merangka strategi demi meraih sokongan dan mencapai kemenangan dalam pilihan raya.
Bagi diri saya, ruang politik ini adalah wadah untuk berkhidmat dan berdakwah. Saya percaya, dakwah yang paling berkesan adalah melalui keindahan akhlak. Semoga Allah SWT mengurniakan saya kekuatan dan kesabaran dalam mendepani segala kecaman, kutukan mahupun sindiran.
Saya bukanlah insan suci yang bebas daripada dosa. Menongkah arus politik ini pastinya menuntut pengorbanan serta ujian yang jauh lebih hebat. Segala cabaran ini saya telan dengan penuh sabar, moga-moga ia dikira sebagai amal pahala di sisi-Nya.
Akhir kata, saya pohon doa yang berterusan daripada semua. Jika ada dalam kalangan ahli keluarga, saudara-mara atau sahabat handai anda yang menetap di Sikamat, mohon perkenalkan diri saya dan yakinkan mereka untuk memberi peluang kepada saya berkhidmat.
Terima kasih sekali lagi atas kebersamaan ini. Siiru ‘ala barakatillah (Melangkah dengan keberkatan Allah)”
Sekitar Penamaan Calon di MBSNS





