
LABUAN, 19 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memperkukuh pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi memastikan penyaluran subsidi diesel kepada kenderaan perdagangan dilaksanakan secara lebih cekap, telus dan bersasar.
Majlis Penyerahan Fleet Card SKDS yang berlangsung hari ini melibatkan syarikat-syarikat yang telah diluluskan permohonannya dan menerima kad armada daripada syarikat minyak PETRONAS, Shell dan Petron, sekali gus memudahkan pembelian diesel bersubsidi melalui sistem yang lebih sistematik dan dipantau secara digital.
Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan telah berkuat kuasa pada 1 Julai 2026, selepas ia diperkenalkan di Semenanjung Malaysia pada 10 Jun 2024. KPDN bertanggungjawab mengawal selia subsidi diesel bagi kenderaan perdagangan menerusi SKDS, manakala program lain seperti BUDI Diesel, BUDI Agri-Komoditi dan Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan diuruskan oleh kementerian berkaitan.
Sehingga 18 Julai 2026, sebanyak 172,955 syarikat melibatkan 464,797 kenderaan telah berdaftar di bawah SKDS di seluruh negara. Bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan sahaja, sebanyak 28,127 syarikat melibatkan 68,669 kenderaan telah berjaya didaftarkan di bawah sistem tersebut.
KPDN memaklumkan peningkatan pendaftaran itu menunjukkan pelaksanaan SKDS di ketiga-tiga wilayah terus mencatat perkembangan positif. Syarikat yang telah diluluskan digesa segera mendapatkan fleet card daripada syarikat minyak bagi melancarkan proses pembelian diesel bersubsidi.
Menurut kementerian itu, penggunaan fleet card membolehkan setiap transaksi diesel bersubsidi direkodkan secara digital, sekali gus memperkukuh pemantauan, mengurangkan risiko ketirisan dan memastikan subsidi benar-benar dimanfaatkan oleh kumpulan sasar. KPDN turut merakamkan penghargaan kepada PETRONAS, Shell dan Petron atas kerjasama dalam mempercepatkan pengeluaran kad armada kepada syarikat yang layak.
Dalam masa sama, KPDN sedang mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan (MOF) bagi meneliti beberapa cadangan penambahbaikan terhadap pelaksanaan SKDS berdasarkan pengalaman operasi, maklum balas pemain industri serta isu-isu yang dikenal pasti di lapangan. Libat urus bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak juga akan diteruskan bagi memastikan pelaksanaan dasar mengambil kira keperluan operasi tanpa menjejaskan objektif penyasaran subsidi dan usaha membendung ketirisan.
KPDN menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan MOF, kerajaan-kerajaan negeri, syarikat minyak serta semua pihak berkepentingan bagi memperkukuh pelaksanaan SKDS demi memastikan subsidi diesel disalurkan secara lebih berkesan, telus dan mampan.
Sumber: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)
Sorotan Berita: Jendela Madani
