MCMC Siasat Kes Kandungan Berunsur 3R Terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan

CYBERJAYA, 20 Julai – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung kes penyebaran kandungan berunsur 3R (Race, Religion, Royalty) yang menyentuh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

MCMC memaklumkan seorang individu telah dipanggil bagi memberikan rakaman percakapan pada hari ini untuk membantu siasatan berhubung kes berkenaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000, penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Menurut MCMC, pihaknya memandang serius penyebaran kandungan berunsur 3R, khususnya kandungan yang bersifat provokatif, menghina, menghasut kebencian atau berpotensi mencetuskan ketegangan awam serta mengganggu keharmonian negara.

Sehubungan itu, MCMC menyeru semua pihak supaya tidak memainkan isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja, khususnya sepanjang tempoh berkempen pilihan raya, bagi memastikan suasana yang aman, harmoni dan saling menghormati terus dipelihara.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya menggunakan platform media sosial secara beretika, berhemah dan bertanggungjawab serta mengelakkan penyebaran kandungan berunsur fitnah, hasutan atau kebencian yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan perpaduan negara.

Berdasarkan lampiran gambar dalam kenyataan media, individu terbabit telah dirakam percakapan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban sebagai sebahagian daripada proses siasatan.

Sumber: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
Sorotan Berita: Jendela Madani

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *