PDRM PERKUKUH KESIAPSIAGAAN DEMI KESELAMATAN PRN NEGERI SEMBILAN

23 Julai 2026

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus komited memastikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 berlangsung dalam suasana yang aman, selamat dan teratur. Bagi memperkukuh kesiapsiagaan operasi, kira-kira 200 pegawai dan anggota Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman akan digerakkan bagi membantu penugasan di Kontinjen Polis Negeri Sembilan.

“Keselamatan rakyat dan kelancaran proses demokrasi adalah keutamaan. KDN akan terus memastikan setiap warga dapat menunaikan hak mengundi dalam suasana yang aman, selamat dan penuh keyakinan.”
— YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri

Penugasan ini melibatkan bantuan sumber manusia bagi memperkukuh operasi keselamatan sepanjang PRN, selain memastikan kelancaran proses pengundian. Semua pegawai dan anggota yang terlibat telah menjalani latihan serta Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP), termasuk pendedahan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai persediaan menghadapi penugasan.

Sebanyak 22,339 pengundi awal terdiri daripada warga pasukan keselamatan dan pasangan akan menunaikan tanggungjawab pada 28 Julai 2026, melibatkan 5,455 pegawai dan anggota PDRM serta 16,884 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama pasangan.

KDN akan terus memperkukuh kesiapsiagaan seluruh agensi di bawah kementerian bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara serta proses demokrasi negara berlangsung dengan lancar, telus dan berintegriti.

Sumber: Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri; Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad; 22 Julai 2026.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *