
PUTRAJAYA, 22 Julai – Kerajaan MADANI terus memperkukuh agenda pendigitalan sektor awam apabila World Bank dengan kerjasama Kementerian Digital melancarkan Laporan Utama GovTech bertajuk Building Malaysia’s Future Government: Unlocking Public Sector Productivity with GovTech sebagai pelan tindakan strategik bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam negara.
Majlis pelancaran laporan tersebut disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, yang menyifatkan transformasi digital sebagai pemangkin utama dalam membina sebuah perkhidmatan awam yang lebih cekap, tangkas, responsif dan diyakini rakyat.
Laporan berkenaan merupakan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Digital bersama Jabatan Digital Negara (JDN), Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan serta Kementerian Ekonomi.
Ia turut disokong oleh kajian GovTech Skills Survey pertama negara yang melibatkan lebih 16,500 penjawat awam daripada 28 kementerian Persekutuan, sekali gus memberikan gambaran menyeluruh mengenai tahap keupayaan digital, cabaran operasi dan potensi transformasi sektor awam.
Menurut dapatan laporan, fokus transformasi digital kini perlu beralih daripada pembangunan infrastruktur semata-mata kepada pengukuhan institusi, pembangunan bakat digital, tadbir urus yang mantap serta penyampaian perkhidmatan yang lebih berpusatkan rakyat.
Sehubungan itu, laporan tersebut mengemukakan 15 cadangan tindakan strategik yang berteraskan empat fokus utama iaitu memperkukuh platform digital kerajaan, membangunkan warga kerja berkemahiran digital, mengukuhkan dasar dan tadbir urus serta memperluaskan penyertaan pengguna dalam reka bentuk perkhidmatan kerajaan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata laporan itu bukan sekadar dokumen analisis, sebaliknya menjadi pelan tindakan praktikal bagi memperkukuh perkongsian data, membangunkan bakat digital serta memastikan sistem penyampaian kerajaan lebih berorientasikan keperluan rakyat.
Dalam pada itu, kerajaan akan terus memperkasa inisiatif seperti MyDigital ID, MyGovCloud dan pelaksanaan perkhidmatan tanpa kertas menerusi pendekatan Whole-of-Government, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, Strategi Pendigitalan Perkhidmatan Awam dan Pelan Strategik Kementerian Digital 2025–2030 bagi merealisasikan aspirasi Negara AI 2030.
World Bank turut menyatakan komitmen untuk terus menyokong Malaysia melalui kepakaran, latihan modal insan dan kerjasama berterusan dalam memperkukuh ekosistem digital negara.
Sumber: Kementerian Digital
Sorotan Berita: Jendela Madani
