UNIT INTEGRITI KPKM PEMACU BUDAYA INTEGRITI, PERKUKUH GOVERNANS DAN CEGAH SALAH LAKU DALAM PERKHIDMATAN AWAM

PUTRAJAYA, 27 Julai 2026 – Usaha memperkukuh budaya integriti dalam perkhidmatan awam perlu bermula daripada kepimpinan yang berwibawa, dengan penyelia memainkan peranan sebagai barisan hadapan dalam membentuk organisasi yang telus, berakauntabiliti dan bebas daripada salah laku.

Sejajar dengan hasrat tersebut, Unit Integriti, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah menganjurkan sesi Introspeksi Integriti bertajuk “Penyelia Sebagai Ejen Integriti dan Pencegahan Salah Laku Dalam Organisasi” berasaskan Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) di Wisma Tani, Putrajaya.

Program yang menyasarkan barisan pengurusan tertinggi kementerian itu memberi penekanan terhadap tanggungjawab penyelia dalam mengesan risiko lebih awal, membimbing warga kerja, mencegah pelanggaran tatakelakuan serta memperkukuh tadbir urus organisasi melalui kepimpinan berteraskan integriti.

Taklimat telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah, Bahagian Perkhidmatan, Unit Laporan Ketua Audit Negara dan Operasi Khas, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Puan Rusnida binti Muhammad Radzi, yang menekankan bahawa penyelia bukan sekadar pentadbir, malah merupakan ejen perubahan yang bertanggungjawab membudayakan nilai amanah, ketelusan, akauntabiliti dan profesionalisme dalam organisasi.

Turut dikongsikan ialah statistik kes tatatertib perkhidmatan awam yang menunjukkan isu seperti ketidakhadiran bertugas, pelanggaran tatakelakuan serta salah laku lain masih menjadi cabaran yang memerlukan tindakan pencegahan secara berterusan. Isu gangguan seksual di tempat kerja turut diberi perhatian sebagai antara risiko yang memerlukan tindakan segera, adil dan berlandaskan peraturan yang berkuat kuasa.

Program ini turut menegaskan bahawa pembudayaan integriti tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuh melalui contoh kepimpinan yang baik, kebertanggungjawaban dalam membuat keputusan serta komitmen semua peringkat organisasi terhadap nilai integriti.

Penganjuran sesi MPGIA sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola Peringkat KPKM Siri 8 Bilangan 2 Tahun 2026 membuktikan komitmen berterusan kementerian dalam memperkasa governans, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta membina budaya kerja yang berintegriti, bebas rasuah dan berorientasikan kecemerlangan.

Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan tadbir urus baik, integriti institusi serta penyampaian perkhidmatan awam yang telus, cekap dan berakauntabiliti demi kepentingan rakyat.

Sumber: Unit Integriti, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *