
KUALA LUMPUR, 27 Julai – Kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM3.1 bilion bagi menampung rebat bil elektrik menerusi mekanisme Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA), sekali gus membantu pengguna menikmati pengurangan bil antara tujuh hingga 10 peratus sejak Julai tahun lalu.
Menurut Tenaga Nasional Berhad (TNB), pelaksanaan AFA menggantikan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) bagi memastikan pelarasan tarif elektrik dibuat dengan lebih telus berdasarkan perubahan kos bahan api di pasaran global.
Sepanjang tempoh Julai 2025 hingga April 2026, pengguna terus menikmati rebat bil elektrik, dengan kadar potongan tertinggi direkodkan pada November 2025, iaitu 8.9 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWj).
Bagaimanapun, peningkatan harga bahan api dunia susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat menyebabkan kos penjanaan elektrik meningkat, sekali gus membawa kepada pelaksanaan surcaj bermula Mei 2026.
Bagi mengurangkan kesan kenaikan kos tersebut, kerajaan turut menyalurkan RM384 juta bagi tempoh Mei hingga Julai 2026, sekali gus memastikan sebahagian besar pengguna domestik terus dikecualikan daripada surcaj dan terus menikmati perlindungan terhadap kenaikan kos elektrik.
