KERAJAAN TELITI PELUAS PENGGUNAAN QR SARA KE PASAR TAMU DAN PASAR TANI

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Kerajaan sedang meneliti cadangan memperluaskan penggunaan kredit Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui kaedah pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani bagi memudahkan penerima bantuan serta memperluaskan manfaat kepada peniaga kecil.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan pelaksanaan itu masih dalam peringkat kajian dan penelitian bagi memastikan mekanisme berkenaan bersifat mampan sebelum sebarang keputusan diumumkan, yang dijangka dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027.

Sehingga 15 Julai 2026, jumlah Rakan Niaga SARA telah berkembang kepada lebih 13,700 premis di seluruh negara berbanding hanya 700 premis pada tahun 2024, termasuk lebih 6,000 kedai runcit kecil, sekali gus memperluaskan akses rakyat kepada bantuan keperluan asas.

Selain itu, penerima SARA kini boleh mendapatkan lebih 140,000 produk yang layak di bawah program tersebut. Penerima juga boleh menggunakan kredit SARA di Pasar Tamu atau Pasar Tani sekiranya peniaga berkenaan merupakan Rakan Niaga SARA yang berdaftar.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus memperkukuh sistem penyampaian bantuan rakyat melalui pendigitalan pembayaran, di samping menyokong pertumbuhan ekonomi komuniti serta memperkasakan peniaga kecil di seluruh negara.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *