MCMC Perkukuh Keupayaan Dasar dan Kawal Selia Digital Menerusi CTPR Masterclass 2026 di Sarawak

KUCHING, 27 Julai – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama strategik Multimedia University (MMU), GSMA dan MMU CNERGY hari ini menganjurkan edisi pertama Converged Telecommunications Policy and Regulations (CTPR) Masterclass 2026 di Sarawak, sekali gus memperkukuh pembangunan keupayaan dasar digital dan kawal selia di Malaysia serta rantau ASEAN.

Program yang berlangsung selama lima hari, dari 27 hingga 31 Julai 2026 di Pullman Hotel, Kuching, telah disempurnakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, YB Dato’ Sri Haji Julaihi Haji Narawi. Penganjuran edisi sulung di Sarawak menandakan langkah penting dalam memperluaskan pembangunan bakat dan kepakaran kawal selia digital ke Malaysia Timur.

Bertemakan “Enabling the Next Wave of Connectivity and Multimedia: From 5G and AI to Satellite and Beyond – Policies for Future Digital Growth”, program ini menjadi platform strategik yang menghimpunkan kerajaan, pengawal selia, penggubal dasar dan pemain industri bagi memperkukuh kefahaman mengenai teknologi baharu serta membangunkan kerangka dasar dan kawal selia yang lebih tangkas, neutral teknologi dan bersedia menghadapi masa depan.

Menurut MCMC, perkembangan pesat teknologi seperti 5G, kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, komunikasi satelit dan platform digital menuntut pembangunan kapasiti institusi serta peningkatan kemahiran penggubal dasar dan pengawal selia agar mampu menghadapi landskap digital yang semakin kompleks dan dinamik.

Program ini turut menghimpunkan pengawal selia, pegawai kerajaan, penggubal dasar, syarikat telekomunikasi, syarikat teknologi, ahli akademik dan profesional industri dari Malaysia serta negara-negara ASEAN bagi berkongsi pengalaman, amalan terbaik dan memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang dasar digital dan kawal selia komunikasi.

Sepanjang program berlangsung, peserta akan mengikuti sesi pembelajaran eksekutif dan perbincangan interaktif yang dikendalikan oleh pakar tempatan serta antarabangsa meliputi topik seperti kawal selia konvergen, tadbir urus AI, Open RAN, pembangunan 6G, komunikasi satelit, pengurusan spektrum pintar, keselamatan siber, tadbir urus data, ekonomi infrastruktur, ESG serta transformasi digital mampan.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2015, CTPR Masterclass telah melatih hampir 400 pengawal selia, penggubal dasar, pegawai kerajaan, ahli akademik dan profesional industri dari Malaysia dan ASEAN, sekali gus menyumbang kepada pengukuhan keupayaan institusi, kecemerlangan kawal selia dan kerjasama dasar di peringkat serantau. Selepas edisi Sarawak, program ini akan diteruskan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan serantau dalam pembangunan dasar digital dan kepimpinan sektor komunikasi.

Sumber: MCMC
Sorotan Berita: Jendela Madani

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *